Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas Majlis Perjumpaan Khas Menteri Dalam Negeri Bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengamal Media 2024 di BoraOmbak Marina, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 25 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Permohonan untuk kewarganegaraan hanya akan mengambil masa setahun apabila pindaan dilakukan pada Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap permohonan yang gagal akan dilampirkan alasan kenapa ia tidak diluluskan untuk memudahkan tindakan lanjut pemohon.

“Apabila pindaan dalam perkara berkaitan kewarganegaraan ini diluluskan di Parlimen nanti, sebarang permohonan berkaitan kewarganegraan akan diberitahu keputusannya dalam tempoh setahun sahaja. Ini komitmen kita berikan (pindaan perlembagaan),” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Khas Menteri Dalam Negeri bersama Pengurusan Tertinggi, Agensi, dan Pengamal Media, di sini, malam ini.

Menurut beliau, pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan undang-undang kewarganegaraan telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada hari ini.

Jelasnya, antara intipati yang dicadangkan pihaknya adalah dua pindaan yang memberi hak sama rata kepada ibu warga Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara.

Klausa yang merujuk kepada pindaan dalam perlembagaan ini adalah Perkara 14(1)(b), Seksyen 1(b) dan 1(c) Bahagian II Jadual Kedua dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut peruntukan perlembagaan sedia ada, seksyen yang diguna pakai ketika ini hanya membenarkan kerakyatan secara automatik kepada anak-anak yang dilahirkan selepas 16 September 1963 (Hari Malaysia) di luar negara jika bapa mereka adalah seorang warganegara Malaysia dan bukan jika ibunya sahaja adalah warganegara Malaysia.

SEmentara itum saifuddin berkata, kerajaan dijangkakan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi penubuhan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA)  di Dewan Rakyat, Parlimen pada Julai ini.

Katanya, perkara itu telahpun dimuktamadkan KDN selepas menerima lampu hijau sebagai tanda persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

MCBA merupakan sebuah agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan lebih komprehensif dalam menjamin keselamatan dan ketenteraman si sempadan negara.

Menurut Saifuddin, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan angka perjawatan untuk melengkapkan dalam gerak kerja penubuhan MCBA. – MalaysiaGazette