KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) termasuk 21 pemain industri pelbagai sektor merayu supaya kerajaan melanjutkan tempoh enam bulan lagi bagi permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) pekerja asing yang tamat pada 31 Mac ini.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tindakan Jabatan Imigresen yang membatalkan tempoh asal permohonan VDR dari September 2024 kepada hujung bulan ini menyukarkan ramai peniaga untuk mendapatkan pekerja asing.
“Pembatalan kuota pekerja asing kepada majikan yang tidak memohon VDR sebelum 31 Mac 2024 telah mencetuskan kebimbangan dan keresahan ahli-ahli kami.
“Pengumuman Jabatan Imigresen yang dikeluarkan pada 1 Mac 2024 menyukarkan ramai majikan untuk mencari pekerja asing yang sesuai.
“Kami merayu agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan itu dan melanjutkan proses permohonan VDR sehingga enam bulan lagi atau 30 Jun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PRESMA, di sini, hari ini.
Pada 1 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa kuota yang tidak digunakan untuk mengambil pekerja asing akan dibatalkan pada 1 Jun.
Kuota aktif untuk mengambil pekerja asing, yang mana levi sudah dibayar tetapi VDR belum dikeluarkan pada akhir Mac juga akan dibatalkan.
Dalam pada itu, Jawahar juga mendakwa keputusan pembatalan kuota itu dibuat tanpa perbincangan atau mendapat maklum balas daripada pemain industri.
“KDN membuat keputusan itu tanpa melakukan sesi libat urus dengan pemain industri,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pekerja asing yang bekerja di restoran akan menamatkan kontrak tiga tahun mereka pada akhir Mac ini.
“Sebilangan besar pekerja asing ini tidak berhasrat untuk kembali bekerja di sini. Kami memerlukan lebih masa untuk mencari pekerja asing yang sesuai.
“Pekerja asing yang telah pulang ke negara asal setelah bekerja selama 10 tahun pula perlu mematuhi tempoh bertenang selama tiga hingga enam bulan untuk kembali bekerja di sini.
“Mereka ini pekerja yang berpengalaman dan mahir, malah ada yang berusia lebih 50-an,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan dengan pengumuman saaat akhir ini, majikan menjadi panik dan akan mendapatkan khidmat agensi haram.
“Majikan boleh mengambil pekerja asing yang kurang kelayakan dan kemahiran jika keadaan terdesak seperti sekarang.
“Apatah lagi sukar untuk mencari pekerja asing di negara sumber dalam masa yang singkat,” katanya.
Katanya lagi, proses pengambilan pekerja asing merupakan usaha yang kompleks dan memakan masa melibatkan pemilihan calon, permohonan pasport dan ujian perubatan sebelum permohonan VDR.
“Lonjakan mendadak dalam permintaan pekerja asing memburukkan keadaan dan berpotensi menyebabkan kesesakan di pejabat Imigresen dan masa menunggu yang panjang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette