KUANTAN – Semua urusan permohonan tanah kerajaan negeri perlu melalui prosedur yang betul supaya ia jelas bagi kedua-dua pihak dalam perjanjian hitam putih.
Ia termasuk perjanjian mulut tanpa dokumen seperti didakwa oleh pengurusan Kafe Tanah Aina Fareena semalam berkaitan kebenaran menggunakan tanah kerajaan untuk dijadikan ruang parkir.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Negeri Pahang, Ir Razali Kassim berkata, perjanjian mulut sahaja tidak mencukupi dan tidak boleh diguna pakai dalam urusan rasmi kerajaan.
“Berhubung isu jika ada perjanjian mulut antara pihak mereka itu saya tidak pasti, jika ada sekali pun perjanjian itu tidak laku kerana tidak sah di sisi undang-undang,” katanya.
Semalam kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah menutup ke laluan parkir di kafe berkenaan menggunakan 11 penghadang konkrit setelah notis pemakluman dibuat pada Isnin lepas.
Jelas Razali, notis pemakluman secara komunikasi tersebut dilakukan oleh pihak UPNP yang hadir ke premis dan memaklumkan tindakan tegas akan diambil dalam tempoh seminggu.
Sementara itu Razali berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau dan mengambil tindakan secara berterusan ke atas mana-mana penceroboh yang menduduki tanah kerajaan Pahang.
Beliau sekaligus menyangkal tindakan hanya diambil setelah enam tahun membenarkan pihak Tanah Aina mendiami tanah berkenaan sebaliknya keputusan diambil berdasarkan keputusan mesyuarat kerajaan negeri.
“Sebenarnya kerajaan negeri mengambil tindakan secara berterusan dan berperingkat dari dulu lagi. Kita pun ada kekangan petugas kita tahu Pahang ini luas dan kita tak boleh buat dalam seluruh negeri secara serentak tetapi berperingkat.
“Tindakan dibuat berdasarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebab beliau buat parkir operasi perniagaan di atas tanah milik kerajaan negeri,” katanya.
Justeru beliau menasihati semua pihak tidak menceroboh kerajaan tanpa sebarang kelulusan termasuk yang bersubahat bakal berdepan tindakan undang-undang seperti tertakluk Seksyen 425 Kanun Tanah Negara. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemilik Kafe Tanah Aina nafi terima notis rasmi penutupan parkirnya
Kafe Tanah Aina beroperasi 6 tahun, kenapa baru sekarang bertindak? – Pengurus
Guna tanah secara haram, parkir Kafe Tanah Aina Fareena ditutup