Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang meletakkan penghadang konkrit bagi menup laluan masuk ke parkir yang dibina atas tanah kerajaan secara haram dalam operasi pagi tadi.

BENTONG – Kafe Tanah Aina Fareen sudah diberi notis peringatan tetapi didakwa masih ingkar, natijahnya  Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) terpaksa menutup sepenuhnya laluan masuk parkir yang dibina atas tanah kerajaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim berkata, tindakan tersebut telah diambil berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang kerana kesalahan pihak berkenaan menggunakan tanah kerajaan sebagai parkir di restoran berkenaan.

Jelasnya, peringatan telah diberikan dan tindakan tegas diambil bagi memastikan semua rakyat di negeri ini menghormati keputusan yang dibuat berdasarkan lunas undang-undang.

Pihak mengurusan Kafe Tanah Aina Fareena memohon penangguhan dan mendapatkan penjelasan berhubung tindakan penutupan jalan laluan masuk ke kafe di Kilometer 54.3 Jalan Karak-Bentong

Menurut Razali, tiada istilah pilih bulu ketika  menguatkuasakan undang-undang kerana kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menduduki tanah kerajaan secara tidak sah.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil tindakan tegas. Sesiapa sahaja yang menduduki tanah kerajaan negeri secara haram, akan diambil tindakan.

“Kita ambil  tindakan  terus dan kebanyakan kes terus dibawa ke mahkamah. Tindakan yang diambil sebenarnya sudah dirujuk kepada Pejabat Perundangan negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika tinjauan penutupan laluan masuk ke parkir kafe berkenaan yang dijalankan secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia, UPNP dan Lebuh Raya Malaysia (LLM)

Berhubung tindakan itu, Razali berkata, peringatan awal telah diberikan kepada pemilik kafee berkenaan bagi memaklumkan laluan tersebut akan ditutup oleh pihak kerajaan negeri.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah meletakkan 11 penghadang konkrit berwarna hitam kuning bagi menutup akses maksuk ke ruang parkir menuju ke kafe tersebut.

Difahamkan pemilik kafe menggunakan tanah kerajaan untuk menempakan ruang parkir kepada pelanggan yang sebelum ini terpaksa melalui jambatan kecil ke kafe yang terletak di bawah laluan lebuh raya.

Selain itu pembinaan jambatan kecil di bawah jambatan konrit di kawasan rizab sungai turut menjadi isu pemilik kafe dengan pihak kerajaan negeri.

Proses menutup laluan dimulakan jam 10 pagi sehingga 12.30 tengah hari tadi  berjalan lancar dan menggunakan budi bicara bagi mengingatkan pelanggang untuk membawa keluar kenderaan terlebih dahulu.

Tiada insiden kekecohan  berlaku semasa proses pengangkutan penghadang konkrit di bawaa masuk.

UPNP telah menutup sementara laluan masuk ke kafe berkenaan dari Karak ke KL pada 1 Mac lalu dan ditutup sepenuhnya menggunakan ‘guard rail’ pada 21 Mac lalu atas faktor keselamatan.

Ketika proses penutupan laluan dibuat, pihak pengurusan kafe telah memohon agar kerja-kerja itu ditangguhkan ekoran pihaknya menerima banyak tempahan pelanggan sepanjang Ramadan ini.

Namun pihak kerajaan negeri telah menerangkan tindakan tersebut perlu diambil memandangkan peringatan telah diberi lebih awal.

Razali menyifatkan tindakan tegas itu bukanlah kejam, tetapi melaksanakan amanah mengikut peruntukan undang-undang demi keadilan semua pihak.

“Kita bertindak hari ini bukan sahaja di Bentong tapi di Cameron Highlands juga diambil tindakan operasi membanteras penggunaan tanah kerajaan secara haram,” katanya.

Kerajaan negeri menerusi UPNP akan terus mengadakan operasi membanteras  terhadap mana- mana pihak yang menduduki tanah kerajaan negeri ini secara haram.

Bahkan katanya, operasi menghalang penaklukan tanah  dan penerokaan hasil bumi secara haram ini telah dilakukan secara serentak di daerah lain secara konsisten.

Pencerobohan tanah kerajaan adalah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun.

Hukuman setimpal juga dijatuhkan kepada mereka yang bersubahat. – MalaysiaGazette