Pihak pengurusan Kafe Tanah Aina Fareena mempersoalkan kewajaran menutup laluan ke parkir kafe selepas enam tahun walaupun memupunyai perjanjian mulut bersama

BENTONG – Pihak pengurusan Kafe Tanah Aina Fareena mempersoalkan kewajaran Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan menutup laluan akses masuk ke premis itu hari ini.

Pengurusnya, Syarifah Sheila Syed Mustafa berkata, tindakan tersebut seolah-olah mahu menutup periuk nasi orang Melayu setelah dilihat berjaya menghidupkan kawasan hutan berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri seharusnya pertimbangkan untuk menangguhkan penutupan tersebut kerana ingin menguruskan tempahan berbuka puasa sempena Ramadan ini.

Syarifah Sheila berkata, jika benar kafe berkenaan melanggar peruntukan undang-undang mengapa kerajaan negeri tidak bertindak sejak dulu lagi.

“Saya nak tahu, kita ni rakyat Malaysia, kita dah berniaga selama enam tahun di sini, tapi kenapa baru sekarang ambil tindakan.

“Kenapa tidak dulu lagi? Kenapa setelah pelancong dari Singapura dan macam-macam orang datang ke sini tiba-tiba nak tutup tempat ni,” luahnya kepada MalaysiaGazette.

Sharifah Sheila Syed Mustafa mendapatkan penjelasan daripada  pihak kerajaan negeri setelah cuba merayu dan memohon penangguhan penutupan laluan masuk ke kafe.

Syarifah Sheila mendakwa, penggunaan tanah parkir itu dibuat selepas pengurusan Tanah Aina mendapat persetujuan mulut dengan pihak berkuasa tempatan Bentong enam tahun lalu.

Namun, katanya, persetujuan antara kedua pihak itu tidak dimuktamadkan menerusi permohonan atau perjanjian bertulis secara hitam putih.

Katanya, pihak Tanah Aina ada menyuarakan untuk permohonan penerima lesen pendudukan sementara (TOL) namun dikatakan tidak berkeperluan.

“Ketika itu kafe kita belum beroperasi, kita ada pergi ke pihak majlis dan minta kebenaran menggunakan kawasan ini untuk parkir.

“Masa tu YDP (Bentong) kata guna dulu parking ni, lagi pun tempat situ tidak dipakai, cuma kena jaga tempat itu.

“Tapi kesilapan besar kita tiada surat hitam putih, hanya persetujuan mulut enam tahun lepas. Kita nak bayar TOL dulu tapi mereka kata  tak perlu, sebab itu kami jaga tempat ini,” jelasnya.

Hari ini Kerajaan Negeri Pahang menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah menutup ke laluan parkir berkenaan menggunakan penghadang konkrit setelah notis pemakluman dibuat seminggu lalu.

11 penghadang konkrit diletakkan di laluan masuk ke ruang parkir Kafe Tanah Aina Fareena

Syarifah Sheila berkata, beliau telah berusaha untuk berunding dan memohon budi bicara pihak kerajaan negeri memberi sedikit kelonggaran agar tidak menutup laluan tersebut sehingga penghujung Ramadan.

Ia kerana, sepanjang Ramadan ini, Kafe Aina menerima tempahan pelanggan untuk majlis berbuka puasa.

Meskipun tindakan tegas sudah dikenakan di bawah  Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan penutupan dua jalan ke kafe, pihaknya berhasrat membuat rayuan kepada pihak kerajaan negeri bagi penangguhan penutupan tersebut.

“Nak minta buka (laluan masuk) sampai hujung Ramadan pasal kita dah terima tempahan yang banyak.

“Bila dah macam ni tak boleh buat apa kami akur, tetapi kami akan buat rayuan,” tambah Syarifah Sheila lagi. – MalaysiaGazette

@malaysiagazette

Kafe Tanah Aina Fareen sudah diberi notis peringatan tetapi didakwa masih ingkar, natijahnya Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) terpaksa menutup sepenuhnya laluan masuk parkir yang dibina atas tanah kerajaan. Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim berkata, tindakan tersebut telah diambil berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang kerana kesalahan pihak berkenaan menggunakan tanah kerajaan sebagai parkir di restoran berkenaan. #malaysiagazette #upnp #kafetanahainafareena

♬ original sound – malaysiagazette – malaysiagazette

 

1 Komen

  1. Begitu lah bila berkaitan dgn orang melayu. Kenapa Melayu selalu jadi mangsa. mungkin mereka lupa bahawa rasuah sama dgn makan BABI. Penguatkuasa hanya berani dgn bangsa sendiri saja. Ya Allah Engkau tunjukkan kifarah..biar rakyat sama sama lihat apa akan jadi dgn manusia itu.

Comments are closed.