Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto SYADILA AMARI, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket didalangi pasangan kekasih yang terlibat dalam kegiatan penstriman haram kandungan penyiaran Astro dan stesen antarabangsa dengan tawaran bayaran bulanan serendah RM39 di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi  dilaksanakan pada 14 Mac lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Astro.

Pasukannya telah melaksanakan serbuan di tiga tempat berasingan iaitu sebuah unit kediaman di Sungai Long, Kajang dan Jalan Kovil Hilir, Sentul serta Taman Genting Setapak di ibu negara.

“Hasil serbuan di unit kediaman di Sungai Long itu mendapati rumah itu dijadikan sebagai pusat kawalan bagi mengawasi masa henti dan masa hidup server di ladang penstriman haram.

“Siasatan lanjut mendapati ladang penstriman haram ini pula beroperasi di Jalan Kovil Hilir dan Taman Genting Setapak dengan membekalkan kandungan penyiaran Astro dan stesen-stesen penyiaran antarabangsa yang lain kepada pengguna aplikasi sindiket terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan terkini kes jenayah komersial di sini Menara KPJ, Jalan Tun Razak petang tadi.

Tambah Ramli, dalam operasi sama, pihaknya turut berjaya membuat tangkapan ke atas dua warga tempatan dipercayai pasangan kekasih berusia 53 dan 57 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan haram itu.

“Siasatan kami mendapati suspek ialah dalang utama yang memainkan peranan di sebalik sindiket penstriman haram itu.

“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan operasi membawa kepada rampasan peralatan penstriman Astro dan siaran antarabangsa, peranti server, pengekod video, perakam video serta beberapa piring satelit yang tidak menepati piawaian dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM100,000.

“Polis juga percaya sindiket ini mempromosikan tawaran penstriman di media sosial Facebook dengan harga serendah RM39,’ ujarnya.

Tegas Ramli Mohamed, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 43AA(1) Akta Hakcipta 1987. – MalaysiaGazette