Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Lebih 100 mangsa yang terpedaya dengan sebuah syarikat pelaburan  tampil mendedahkan kerugian hampir RM45 juta selepas melabur.

Malah lebih mengejutkan apabila para pengadu yang membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dimaklumkan syarikat itu bukan sahaja mempromosi pelaburan tidak sah sebaliknya juga memperdayakan pelaburnya dengan pelbagai dakwaan palsu.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, apabila pihaknya mula menyiasat aduan mangsa, sindiket itu bergerak dalam skala besar dengan menjanjikan keuntungan 100 peratus bagi memancing para pelaburnya.

“Wang yang dilaburkan pula bukan sedikit sebaliknya puluhan hingga ratusan ribu, itulah yang cecah sehingga puluhan juta, kita syak ada ramai lagi mangsa belum tampil buat aduan.

“Kebanyakan mangsa sangat senang diperdaya dengan mengatakan terdapat lebih 100,000 peserta dalam aplikasi itu. Syarikat itu tipu dengan mendakwa peserta dan pelabur bukan sahaja kalangan warga tempatan sebaliknya di rantau Asean seperti Vietnam, Myanmar, Laos, Singapura, dan Thailand,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Hishamuddin, antara modus operandi termasuklah menawarkan keuntungan tidak masuk akal selain promosi pembelian kad Visa.

“Pelaburan itu mula mengalami masalah apabila mereka tidak membenarkan pengguna mengeluarkan duit yang dilaburkan. Untuk keluarkan duit, mereka perlu menambah jumlah tertentu dan kemudian bertukar kepada satu platfom yang dipanggil sebagai TeraMax,” ujarnya.

Sehubungan itu, MHO telah membawa kesemua mangsa untuk membuat laporan polis yang mana ada kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan ada dirujuk ke agensi lain iaitu Bank Negara Malaysia (BNM).

Kata Hishamuddin, pihaknya juga sudah membuat laporan rasmi kepada BNM dan menunggu arahan seterusnya sebelum menggunakan cara lain termasuk perundangan bagi mengambil tindakan tegas termasuklah membekukan akaun syarikat itu selain pemulangan kembali wang mangsa.

Jelas Hishamuddin, walaupun pelbagai pihak termasuk pihak berwajib membuat pelbagai kempen kesedaran selain membuat tangkapan serta pendakwaan saban hari membabitkan pelaburan palsu namun sememangnya sindiket-sindiket ini seperti ‘cendawan tumbuh’.

“MHO sentiasa komited dalam berjuang membantu mangsa-mangsa ini, walaupun kita sendiri tampil memohon supaya tidak ada lagi yang terpedaya namun kes-kes membabitkan penipuan pelaburan masih lagi tinggi.

“Ini kerana sindiket-sindiket ini sangat licik dalam memperdayakan mangsa-mangsa mereka dengan pelbagai cara, kita harap hanya dengan pendedahan demi pendedahan seperti ini disusuli dengan tindakan tegas termasuk pendakwaan mampu memberikan titik noktah kepada semua isu ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette