Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR – Daripada tahun lalu hingga kini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan sebanyak RM219.6 juta untuk menaik taraf perparitan dan menyelenggara kolam takungan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak RM49.59 juta disalurkan pada tahun sebelumnya manakala selebihnya adalah untuk tahun ini.

Bagi projek penyelenggaraan kolam takungan banjir di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), peruntukan sebanyak RM100 juta pada tahun 2023 dan RM50 juta pada tahun 2024 telah disalurkan kepada PBT, katanya.

Menurut beliau, kementerian berkenaan menerapkan Pelan Induk Saliran Mesra (PISMA) dalam perancangan bandar mengikut hasil keputusan Majlis Perancangan Fizikal Negara 2023.

Berdasarkan data pelaksanaan kajian PISMA di Malaysia menunjukkan sebanyak 32 kawasan telah menyelesaikan pelaksanaan projek.

Manakala tujuh kawasan dalam proses penyediaan kajian dan 10 kawasan masih dalam proses perancangan.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Pengurusan dan Tindak Balas Banjir Berkesan di Bandar anjuran Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur.

Jelas beliau, perbincangan tersebut antara lain mengemukakan faktor banjir kilat yang berlaku termasuklah akibat pola taburan hujan, kesan urbanisasi dan pembangunan tidak bersepadu dan sistem saliran yang kapasitinya tidak mencukupi.- MalaysiaGazette