Kejadian molotov cocktail di KK Mart di Bidor, Perak.

KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran akan bertindak terhadap mana-mana individu yang melakukan tindakan sendiri ekoran isu penjualan stoking di KK Mart.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata, kes tersebut sewajarnya diserahkan kepada polis untuk disiasat berdasarkan akta dan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, pihak-pihak yang berkenaan tidak perlu untuk untuk mengambil tindakan dengan merasakan mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian

So, bagi kepada kita biar kita yang menentukan…tak perlu lagi untuk membakar atau membaling molotov cocktail pada KK Mart…tak perlu, tak perlu.

“Kita ambil tindakan, jangan mereka rasa ada hak ambil tindakan begitu. Malaysia ini dia ada tindakan undang-undang…jadi, patuh pada undang-undang,” katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata ketika diminta mengulas mengenai insiden sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bidor, Perak dilempar molotov cocktail pada Selasa lepas.

Dalam kejadian itu molotov cocktail atau bom petrol dilempar oleh individu tidak dikenali ke arah premis berkenaan.

Bagaimanapun, bom petrol tersebut jatuh di kawasan lapang di hadapan kedai serbaneka tersebut dan tidak meletup.

Mengulas lanjut, Razaruddin berkata, isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di kedai serbaneka terbabit tidak perlulah diperbesar-besarkan lagi kerana tindakan telah pun diambil.

Jelasnya, polis juga ada membuat pemantauan di media-media sosial bukan sahaja mengenai perkara tersebut malah turut melibatkan perkara lain yang boleh membangkitkan perasaan marah membabitkan kaum dan agama.

“Memang kita pantau di setiap media sosial…dan kalau boleh saya nak ingatkan supaya tiada lagi isu-isu begini dimainkan

“Ini akan mendatangkan kegusaran, mendatangkan ketidaktenteraman, mendatangkan isu-isu perkauman dibangkitkan dan ini satu perkara yang tak baik,” tambahnya. – MalaysiaGazette