KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau kandungan media sosial yang melampau bertujuan untuk melindungi kesejahteraan rakyat di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, MCMC tidak akan bertolak ansur dengan kandungan media sosial yang menimbulkan ancaman kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
Serentak itu Fahmi mahu supaya masyarakat untuk terlibat secara aktif membuat laporan kepada MCMC terhadap mana-mana kandungan yang bersifat melampau.
“Kita tidak akan sesekali kompromi dengan usaha penyebaran kandungan provokatif melampau. Malaysia negara berbilang kaum dan jadi tanggungjawab semua untuk jaga keharmonian ini.
“Di pihak MCMC, kita akan terus memantau kandungan yang mempunyai unsur ancaman bagi melindungi kesejahteraan negara. Kalau jumpa kandungan sebegini, lapor terus kepada MCMC!” katanya melalui X.
Beliau mengulas kenyataan MCMC hari ini bahawa sebanyak 35,490 kandungan telah diturunkan pada 2023 manakala bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja 27,115 kandungan dipadamkan.
Berdasarkan statistik MCMC terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT).
Menurut MCMC Kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu.
“Kandungan sedemikian mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.
“Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini.
“Manakala, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” katanya dalam kenyataan.
Suruhanjaya itu juga dilaporkan sedang bekerjasama dengan polis bagi mengesan pemilik akaun media sosial yang menyebarkan kandungan provokatif berkaitan isu stoking ada kalimah Allah.
Suruhanjaya itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran kandungan yang melampau di media sosial. – MalaysiaGazette