SHAH ALAM – Polis berjaya melumpuhkan sindiket jual beli akaun bank dan kad ATM melibatkan kerugian berjumlah RM2.3 juta dalam beberapa serbuan di Lembah Klang, antara 20 hingga 22 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil serbuan polis menahan seramai 16 individu termasuk seorang warga asing dari Nigeria.

“Dari 16 individu yang ditangkap, 15 individu adalah warga tempatan dan seorang perempuan warga Nigeria. Ada dalam kalangan mereka ini berperanan sebagai pemungut hutang, runner dan orang tengah,” katanya pada sidang media hari ini.

Kesemua suspek yang ditahan ini masih muda, berusia antara 20 hingga 30-an.

Operasi menggempur sarang sindiket keldai akaun itu bermula di sekitar Gombak melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Hasil serbuan tersebut, polis berjaya merampas sebanyak 31 unit telefon bimbit, 30 kad ATM daripada tujuh bank tempatan, sebuah pencetak, sebuah komputer riba dan satu fail yang mengandungi pelbagai dokumen.

Beliau juga berkata, dua dari 16 individu merupakan pegawai bank di salah satu bank tempatan yang berperanan untuk mendaftar akaun dan mengeluarkan kad ATM.

“Dua pegawai bank ini bekerja sebagai Mobile Deposit Specialist (MDS) di sebuah bank tempatan. Demi mencapai KPI, mereka sanggup mendaftarkan individu-individu untuk akaun dan kad ATM tanpa membuat semakan menyeluruh,” katanya.

Jelasnya, sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lalu sudah membuka 40 akaun bank dan kad ATM untuk dijual kepada sindiket penipuan dalam talian.

“Hasil semakan polis mendapati lima akaun itu dibuka pada tiga bulan lepas dari Januari sehingga sekarang. Kita juga percaya ada pegawai-pegawai bank lain terlibat, ada kumpulan lain yang berperanan sebegini.

“Hasil semakan kita dapati dua pegawai bank ini baru bekerja kurang dari setahun,” katanya.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati lima dari 40 akaun bank itu telah digunakan sindiket melibatkan 15 kes penipuan di lapan negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Kedah, Perak, Johor dan Sabah.

“Ia melibatkan kerugian sebanyak RM2.3 juta. Kesemua transaksi telah berlaku di antara Februari 2024 sehingga Mac 2024,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, salah seorang warga tempatan itu merupakan ketua sindiket dan mempunyai rekod lampau.

“Ketua sindiket yang berusia 31 tahun ini pernah ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada 2021. Dia tidak mempunyai pekerjaan yang nyata melainkan menipu orang ramai,” katanya.

Tambah beliau, modus operandi  mereka dengan mencari pelanggan atau rekrut individu-individu membuka akaun bank dengan bayaran antara RM500 hingga RM1,500.

“Kemudian akaun bank ini bersama kad ATM akan disewakan kepada sindiket penipuan dalam talian dengan bayaran sehingga RM8,000.

“Sindiket ini juga membawa individu-individu ini untuk mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mendapatkan bayaran lebih tinggi,” katanya.

Katanya lagi, kesemua 16 individu itu masih direman dan ada di antara mereka yang telah diberi jaminan.

“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 420/ 120B Kanun Keseksaan. jika kesalahan disabitkan di bawah 420, boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan atau denda atau ketiga-tiganya.

“Manakala sabitan di bawah 120B Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Kesemua suspek telah ditahan reman mengikut peruntukan di bawah Seksyen 117 KPJ untuk membantu siasatan polis. – MalaysiaGazette