Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi sambung prosiding bela diri kes penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, bahawa beliau tertipu dengan karisma Low Taek Jho atau Jho Low sehingga menyebabkan kepercayaannya dieksploitasi dan disensasikan oleh pihak-pihak tertentu.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau terpalit dengan kesalahan yang dilakukan oleh ahli perniagaan dalam buruan itu hanya disebabkan kehadiran Jho Low di kediamannya yang menimbulkan persepsi bahawa mereka rapat.

“Kehadirannya di kediaman saya telah disensasikan walhal ramai lagi pernah melawat Jho Low di rumahnya (di Jalan Kia Peng) termasuk Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Jasmine Loo dan Joanna Yu.

“Shahrol Azral mengaku di mahkamah bahawa dia masak nasi goreng untuk Jho Low manakala Joanna Yu menawarkan diri untuk buat sup ketika Jho Low tidak sihat. Untuk makluman, saya tidak pernah menyediakan sebarang hidangan untuk Jho Low,” ujarnya.

Najib, 71, menyatakan demikian ketika membaca pernyataan pembelaannya bagi menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Dalam keterangannya, bekas Perdana Menteri itu turut menceritakan mengapa beliau tertarik dan mempercayai Jho Low yang disifatkan sebagai ‘lelaki muda berbadan gempal’, berkarisma, luar biasa dan berpengaruh sehingga mampu membuat keputusan untuk Malaysia.

Ujarnya, keyakinan terhadap Jho Low timbul berdasarkan imej menarik yang ditonjolkan sebagai individu yang berkebolehan dan mempunyai hubungan yang baik dengan pelbagai pihak.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Jho Low mendapat sokongan kuat termasuk daripada Seri Paduka Baginda ketika itu dengan menunjukkan keupayaan luar biasa sehingga membuka peluang yang memberi manfaat kepada Malaysia seperti pelaburan AS$500 juta Mubadala di Iskandar, Johor.

“Hubungan Jho Low dengan keluarga diraja Arab Saudi, Kuwait dan United Arab Emirates (UAE) termasuk dengan Raja Abdullah dari Arab Saudi yang memberi penghormatan kepada saya melalui Anugerah Darjah Kebesaran, anugerah awam tertinggi.

“Baginda bermurah hati menghadiahkan berjuta-juta dolar sebagai derma politik,” ujar beliau.

Najib menambah, hubungan Jho Low dengan Arab Saudi terbukti semasa krisis Arab Spring di Mesir apabila beliau memudahkan pemindahan ribuan rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir ke Arab Saudi tanpa visa dan seterusnya pulang ke Malaysia. Jho Low juga memperoleh dua penerbangan Boeing 747 untuk membawa pulang rakyat negara ini.

Ujar Najib, keupayaan Jho Low untuk mewujudkan hubungan peringkat tinggi itu mengukuhkan kepercayaan bahawa beliau seseorang yang boleh dipercayai untuk memajukan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa.

“Contoh ketara, notis awal beliau kepada saya bahawa Arab Saudi telah bersetuju untuk menambah kuota haji Malaysia sebanyak 10,000 yang merupakan kelulusan khas yang diberikan kepada saya atas permintaan bertulis saya kepada Seri Paduka.

“Ketika itu, saya tidak mempunyai sebab untuk meragui niat atau tindakannya,” ujar bekas Perdana Menteri.

Ujar Najib, hanya kerana beliau mempercayai Jho Low tidak bermakna arahan diberi agar ahli perniagaan itu bertindak sebagai perantara dengan pengurusan atau pengarah 1MDB.

“Juga tidak bermakna saya memberi kuasa kepadanya untuk membawa resolusi ke kediaman saya di Langgak Duta untuk ditandatangani,” ujar beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast