KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek berusia 36 tahun itu mendakwa dia mencari seorang penama warga Israel yang membabitkan isu keluarga untuk dibunuh.
“Kita masih tidak percaya mungkin ada agenda lain,” katanya pada sidang media di Masjid Al-Amin, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, di sini, hari ini.
Menurut Razarudin, lelaki itu masuk ke Malaysia sejak 12 Mac lalu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pasport Perancis.
Tambah beliau, lelaki tersebut masuk ke negara melalui Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Selepas soal siasat dia tunjukkan pasport Israelnya juga,” katanya sambil menambah beliau percaya pistol-pistol itu diperolehi di Malaysia memandangkan UAE mempunyai kawalan ketat terhadap senjata api.
Mengulas lanjut Razarudin percaya lelaki tersebut tidak bergerak sendiri, sehubungan itu polis masih berusaha mengesan kenalan suspek.
“Kita percaya dia tidak bergerak seorang kita perlu kenal pasti contact dia di sini,” ujarnya.
Beliau berkata, senjata api yang dimiliki lelaki itu dibeli setelah dia tiba di Malaysia dan pembelian adalah menggunakan transaksi kripto.
Katanya, semua pembayaran senjata yang dia beli melalui matawang kripto dan siasatan masih diteruskan untuk polis menentukan dari mana senjata api tersebut masuk ke Malaysia.
Tambah beliau, siasatan juga akan memberi tumpuan kepada siapa bertanggungjawab menyeludup senjata api itu dan siapa penerima pembayaran.
Menurut Razarudin, lelaki itu kini direman sehingga 31 Mac atau selewatnya sehingga siasatan selesai.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150) dan Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman gantung.
Mengsyaki lelaki tersebut mempunyai agenda lain, Razarudin berkata, polis meningkatkan kawalan keselamatan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan individu kenamaan yang lain.
“Apa yang membimbangkan di sini terutama sekali apabila tangkapan ini berlaku ktia nampak isu di Palestin kita juga berwaspada terutama keselamatan PM, Agong mungkin juga ada pegawai-pegawai VIP kita perlu ambil kira keselamatannya di sini,” katanya. – MalaysiaGazette