Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyerahkan jentera bomba baharu pada majlis pelancaran Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Pusat Membeli belah Sogo, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 30 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM267 juta diperuntukkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi perolehan aset serta pelaksanaan projek.

Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia merupakan satu jumlah besar yang mencatat sejarah pernah disalur kepada agensi di bawah kementeriannya itu.

Katanya, antara aset yang dibeli untuk diserahkan kepada JBPM termasuk RM147 juta untuk membeli 150 buah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT).

“Peruntukan ini membuktikan komitmen Kerajaan Madani untuk menjaga keselamatan awam serta mencegah risiko kebakaran.

“Ini merupakan pembelian aset yang paling besar dalam sejarah bomba dan ini sekali lagi bukti kerajaan Madani dan bomba berpisah tiada,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Siaga Raya Aidilfitri di ibu negara, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, jentera-jentera tersebut akan ditempatkan di balai-balai hotspot yang merangkumi 652 kawasan sering berlaku kebakaran terbuka.

Lokasi tumpuan termasuklah tanah gambut, tapak pelupusan sampah haram dan juga tapak pelupusan sampah yang diselia oleh pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Kor Ming memberitahu, negara kerugian RM2.6 bilion akibat kebakaran berskala besar daripada pelbagai bentuk insiden.

Sementara itu, Kor Ming berkata, pihaknya telahpun mengeluarkan arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar pokok-pokok besar yang teduh dan boleh membahayakan keselamatan awam hanya dipangkas dan tidak boleh di tebang atau dipotong.

Katanya, ia bagi mengekalkan kelestarian alam susulan keadaan pemanasan global ketika ini.

“Perlu diingati risiko kebakaran khususnya di musim kemarau dan panas ini adalah amat ketara.

“Oleh itu, saya menggesa semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka ini bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Ops Siaga Raya Aidilfitri bertujuan untuk menyusun strategi awal bagi persediaan dan kesiapsiagaan JBPM untuk menghadapi insiden-insiden kecemasan yang dijangka berlaku sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.

Melalui program itu, JBPM berhasrat untuk menguar-uarkan informasi keselamatan, memberi kesedaran dan pendidikan awam berkaitan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan terutamanya ketika melaksanakan aktiviti-aktiviti lazim musim perayaan.

Ditanya, mengenai cuti anggota bomba pada perayaan Aidilfitri, Kor Ming berkata, lebih 70 peratus mereka yang berkhidmat di jabatan itu dibekukan cuti masing-masing sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast