Enam pucuk pistol yang ditemui pada lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel dekat Ampang, semalam.

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki wagra Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, direman seminggu oleh polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perintah reman kedua-dua suspek berusia 42 dan 40 tahun itu bermula hari ini sehingga 5 April ini.

“Pagi tadi pasukan polis berjaya memperoleh perintah reman selama tujuh hari ke atas pasangan suami isteri itu untuk membantu siasatan kami.

“Siasatan sedang dikendalikan polis di bawah Akta Senjata 1960,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi tengah hari tadi.

Razarudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes terbabit kerana siasatan masih diteruskan dalam semua aspek.

Pasangan suami isteri itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bazar Ramadan, Kuala Selangor, pada jam 7.30 malam semalam.

Susulan tangkapan itu, polis  kemudian membuat serbuan di kediaman pasangan tersebut sebelum menemui sepucuk pistol berwarna perak berhulu coklat di dalam bonet kereta jenis Honda Jazz milik mereka.

Mereka yang disoal siasat mengakui telah membeli senjata di Thailand sebelum diserahkan kepada seorang lelaki Israel itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast