Amira Aisya Abd Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (MUDA) berpendirian cukai dalam negara sepatutnya dilaksana secara adil agar manfaat daripada sudut ekonomi dapat dirasai keseluruhan rakyat khususnya golongan marhaen.

Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ekonomi yang berkembang di dalam negara digerakkan oleh golongan marhaen yang bekerja.

Sehubungan itu katanya, golongan tersebut yang perlu dijaga kebajikannya.

“Saya bukan anti cukai. Saya tahu dan faham benar negara ini sudah hilang banyak kekayaan dan wang rakyat apabila UMNO memerintah.

“Saya juga tahu nanti berbodong-bodong kumpulan penyokong kerajaan yang akan tuduh saya pro cetak wang, tidak mahu ekonomi yang lebih progresif dan sebagainya.

“Hakikatnya, MUDA bukan anti cukai tapi Muda anti cukai hanya untuk marhaen. Biar adil dan sama-sama merasa kek ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini dilaporkan, Kementerian Kewangan (MOF) tidak akan memperkenalkan Rang Undang-undang Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) ketika persidangan Dewan Rakyat seperti yang dirancang.

Pada 29 Februari lalu, Kementerian Kewangan berkata, RUU tersebut akan dibentangkan dan akan berkuat kuasa pada 1 Mei sekiranya diluluskan.

HVGT sebelum ini dikenali sebagai cukai barang mewah pertama kali diumumkan dalam Bajet 2023 disemak semula yang dibentangkan pada Februari tahun lalu dengan kadar cukai dijangka dalam lingkungan 5 hingga 10 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast