Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 10,413 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2023 menerima insentif dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime berjumlah RM1,000 setiap orang.

Ketua Eksekutif  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata kesemuanya melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM10,413,000 (RM10.41 juta).

Menurutnya, insentif berkenaan menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat  seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.

“PTPTN merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PDRM kerana memilih Simpan SSPN sebagai insentif bagi APC,” katanya.

Terdahulu Majlis penyampaian APC telah diadakan di Dewan Mess Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu disempurnakan oleh Ketua Polis Negara. Tan Sri Razarudin Husain.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydhin Putchay.

Selain mengucapkan tahniah kepada semua penerima APC Tahun 2023 PDRM Ahmad Dasuki turut menyeru kepada kementerian serta agensi lain untuk turut sama menjadikan akaun Simpan SSPN sebagai insentif bagi penerima APC.

“Pembukaan akaun Simpan SSPN atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette