PUTRAJAYA – Semua penjawat awam akan menerima Bantuan Kewangan Khas (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 yang akan diagihkan pada Jumaat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak turut akan diberi bantuan berkenaan.
Malah, semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen akan menerima sebanyak RM250.
“Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM250 kepada semua pesara kerajaan termausk veteran yang berpencen dan tidak berpencen.
“Insya Allah saya telah maklumkan kepada Perbendaharaan, BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini 5 April 2024,” katanya ketika mengakhiri ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Pada 23 Februari lalu, semua penjawt awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak menerima Bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000.
Manakala, insentif RM1000 pula diberikan kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Insentif itu diberikan susulan pengumuman mengenainya dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette