Foto ihsan PDRM

IPOH – Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki menjadi dalang aktiviti mempromosikan pinjaman wang tanpa lesen atau ‘along’ dan judi dalam talian di kawasan Bazar Ramadan Stadium Perak, dekat sini yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 54 dan 53 tahun itu ditahan di sebuah lokasi di Sitiawan, Lumut pukul 12.45 tengah malam Isnin.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap lelaki berkenaan mendapati dia mengaku telah ke bazar berkenaan bersama dua lelaki lain yang diupah untuk mengedarkan bahan promosi aktiviti haram tersebut.

Kata beliau, hasil siasatan juga mendapati suspek telah menjalankan aktiviti tersebut sejak dua tahun lalu.

“Dua lelaki yang bersama suspek di bazar ketika hari kejadian merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dijumpai suspek dan diupah untuk mengedarkan kad dengan bayaran RM30.

“Semakan yang dilakukan berdasarkan buku catatan yang dirampas mendapati 90 peratus peminjam wang daripada suspek merupakan bangsa melayu yang berada di sekitar Manjung.

“Suspek dipercayai bertindak demikian bagi memperkembangkan perniagaan pinjaman wang tanpa lesennya dengan mencari peminjam baru.

“Suspek juga mengaku perniagaan pinjaman wang haram yang dilakukan mengenakan bunga yang tinggi dan secara harian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Tambah Mohd Yusri, pihak polis turut merampas satu telefon bimbit, satu buku catatan senarai peminjam wang, sebuah kereta, satu ikat kad mengandungi 120 keping yang tertera tawaran pinjaman wang dan tawaran judi atas talian, untuk siasatan lanjut.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Soal siasat masih dijalankan oleh pihak polis bagi mendapatkan maklumat lain berkaitan. Pada masa yang sama, pihak polis masih mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terlibat bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian dan pinjaman wang haram tersebut boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis di mana-mana balai polis berhampiran bagi diambil tindakan.

“Pihak polis juga akan mengambil tindakan yang tegas terhadap kesalahan-kesalahan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam,” tambah beliau.

Sebelum ini tular di media sosial video yang memaparkan seorang peniaga menegur seorang lelaki yang sedang mempromosikan aktiviti along serta judi dalam talian di Bazar Ramadan Stadium Perak.

Menerusi video berdurasi 1.01 minit itu, peniaga berkenaan menegur lelaki berkenaan dalam bahasa Cina kerana mengedarkan kad yang mempromosikan aktivti haram itu di setiap gerai di bazar tersebut.

Berdasarkan kepada kapsyen video, perbuatan individu yang mempromosikan aktiviti terbabit dikatakan sudah ditegur, namun pelakunya masih berdegil. -MalaysiaGazette