Tuminah menunjukkan kerja-kerja pemunggahan hampas sawit ke dalam sebuah kapal kargo di Pelabuhan Tanjung Bruas di sini hari ini sebelum dieksport ke Jepun.

MELAKA – Pencemaran bau masam daripada hampas tempurung kelapa sawit di Kampung Balik Bukit di sini selesai sepenuhnya apabila kesemua lebih 4,000 tan sisa buangan itu diangkut  sebuah kapal kargo ke Jepun hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor berkata, ia sekali gus menjadikan masalah yang menjadi rungutan kira-kira 500 penduduk di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling di sini sejak empat bulan lalu selesai lebih awal.

“Bermula esok, isu bau ini takkan timbul lagi sebagaimana dijanjikan tempoh hari untuk kita mencari kaedah terbaik bersama pihak syarikat dan Pelabuhan Tanjung Bruas untuk menyelesaikan masalah ini.

“Hari ini adalah hari terakhir mereka beroperasi dan selepas ini kawasan penempatan sementara hampas ini akan ditambah baik untuk mengelakkan bau masam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau kerja-kerja pemunggahan hampas sawit itu ke dalam sebuah kapal kargo di Pelabuhan Tanjung Bruas di sini hari ini.

Tuminah Kadi

Mengulas lanjut, Tuminah berkata, kerja-kerja pemunggahan hampas berkenaan telah bermula sejak semalam selepas kapal kargo terbabit tiba dari Jepun kelmarin.

Tambahnya, kerajaan negeri kini sedang mengenal pasti kawasan baharu yang lebih selamat dan bebas pencemaran bau selepas penutupan pusat simpanan sementara hampas sawit itu.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan syarikat berkenaan berusaha untuk mengatasi masalah bau masam daripada hampas itu yang menghantui penduduk Kampung Balik Bukit sejak akhir Januari lalu.

Hasil perbincangan, pihak syarikat minta tempoh sehingga 15 April ini untuk pindahkan hampas berkenaan namun penduduk berharap ianya dipercepatkan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Hampas itu terhasil melalui proses pengupasan buat sawit dan merupakan produk semula jadi yang mempunyai bau tersendiri namun tidak memudaratkan kesihatan. – MalaysiaGazette