Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk serangan udara oleh Israel yang menyebabkan kematian tujuh pekerja bantuan dari badan amal World Central Kitchen (WCK) di Gaza.

“Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, serta pemimpin kerajaan negara-negara yang berduka atas kehilangan warganegaranya dalam serangan yang tidak berperikemanusiaan ini,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini.

Mangsa yang terkorban termasuk tiga warganegara Britain dan masing-masing seorang warganegara Poland, Australia, Palestin dan pemegang dwi-kewarganegaraan Amerika Syarikat-Kanada.

Malaysia turut mengambil maklum dan turut berdukacita apabila WCK menangguhkan operasinya disebabkan oleh insiden tragis ini.

Penangguhan operasi WCK itu akan menghalang usaha bantuan segera, sekali gus menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan kebuluran dan penyebaran penyakit.

Serangan yang disengajakan di bangunan konsulat Iran di Damascus, Syria baru-baru ini serta serangan di atas WCK ini adalah amat membimbangkan.

Malaysia menegaskan, rejim Israel harus mematuhi Resolusi 2728 untuk memastikan perlindungan dan bantuan sampai kepada rakyat Palestin.

“Rakyat Palestin berhak mendapat sokongan teguh dan bantuan dari komuniti antarabangsa, dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha secara kolektif mencari penyelesaian yang damai dan mampan terhadap krisis berterusan di Gaza.

“Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri, penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” ujar Wisma Putra lagi. – MalaysiaGazette