Meenakshi.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak kerajaan Pulau Pinang menangguhkan semua kelulusan bagi mana-mana projek mega di pulau itu termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) dan Kereta Kabel Bukit Bendera sehingga pelan tempatan yang sesuai disediakan.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, walaupun Pelan Struktur Pulau Pinang 2030 telah disediakan dan rujukan kepada LRT dan Kereta Kabel Bukit Bendera terkandung di dalamnya, tiada butiran lanjut daripada segi pengezonan terperinci kawasan projek berkenaan.

“Setakat ini bagi pembangunan di Bukit Bendera, terdapat Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera yang menetapkan butiran mengenai pengezonan kawasan serta perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan di Bukit itu.

“Bagaimanapun, akan ada kawasan di luar Rancangan Kawasan Khas tersebut, terutamanya di stesen bawah di kaki bukit yang melibatkan kawasan di Taman Botani Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya yang memerlukan pertimbangan perancangan yang sewajarnya.

“Berkenaan projek LRT, sebaik sahaja penjajaran dimuktamadkan ia akan melibatkan kesan sosial dan alam sekitar yang besar di kawasan kejiranan terdekat di sepanjang jajaran yang memerlukan perincian dari segi pelan pengezonan di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, pihaknya kesal sejak beberapa dekad ini, Pulau Pinang masih belum mempunyai Pelan Tempatan bagi bahagian pulau yang sewajarnya untuk mengawal perancangan secara terperinci dan pengezonan.

Kata beliau, setakat ini apa yang dilakukan, Kerajaan Negeri Pulau Pulau dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) adalah untuk meluluskan pelaksanaan merancang tanpa akauntabiliti dan ketelusan yang betul.

“Malah, dalam kes Sunrise Condominium lawan Sunway City, Mahkamah Persekutuan tahun lepas pada Januari 2023 telah menegur pihak berkuasa bahawa tiada pelan tempatan pernah dirangka oleh pihak berkuasa tempatan walaupun Rancangan Struktur Pulau Pinang 2020 telah diwartakan pada Jun 2007 dan peruntukan nyata seksyen 12 APBD (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976) yang menjangkakan kerja ke atas pelan tempatan perlu dimulakan sebelum atau tidak lama selepas Rancangan Struktur Pulau Pinang berkuat kuasa.

“Tanpa Pelan Tempatan yang memerlukan ketelusan dan penyertaan demokratik orang ramai dalam perancangan terperinci, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MBPP akan bertindak tanpa sebarang akauntabiliti sama sekali, dan ini tidak selaras dengan proses perancangan seperti yang dibayangkan oleh APBD.

“Sehubungan itu, SAM menggesa pihak berkuasa Negeri Pulau Pinang untuk mematuhi undang-undang dan menghentikan membuat keputusan berhubung projek-projek ini sehingga Pelan Tempatan yang sewajarnya disediakan, supaya perancangan pembangunan dilakukan dengan betul dan dengan akauntabiliti dan ketelusan yang sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette