Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada media ketika Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Jabatan Imigresen di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 05 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Human Rights Watch (HRW) diminta membantu menguruskan tahanan warga asing di depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia yang status kerakyatan mereka tidak diiktiraf negara asal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai contoh terdapat warga Amerika Syarikat (AS) dan Filipina tidak boleh dihantar ke negara asal disebabkan negara terbabit tidak mengaku tahanan itu sebagai warga negara terbabit.

“Dalam keadaan ini, kita masih memberi masa kepada kedutaan AS dan Filipina untuk buat profil dan kita di sini sedia memberi kerjasama sebab tempoh mereka ada di sini agak lama,” katanya selepas majlis Penerapan Nilai Murni bersama JIM di Depoh Imigresen Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sebelum ini, laporan HRW mendakwa tahanan dalam depoh imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.

Laporan berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh imigresen turut mendakwa, kanak-kanak sering menghadapi penderaan yang sama seperti tahanan dewasa termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.

Menurut Saifuddin, laporan satu pihak itu adalah tidak bertanggungjawab sedangkan JIM sentiasa menjaga serta menambahbaik aspek kebajikan dan keperluan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditempatkan di 20 depoh tahanan di seluruh negara.

Tambah beliau, walaupun identiti tahanan warga asing itu tidak diakui, JIM masih menjaga kebajikan mereka dengan menggunakan duit pembayar cukai rakyat Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, kerajaan membelanjakan RM122.6 juta untuk kos untuk menguruskan penghantaran pulang warga asing yang melibatkan perbelanjaan utiliti, makan, minum dan barangan keperluan mereka semasa berada di depoh tahanan JIM.

Beliau beratanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu, JIM telah menghantar 11,303 tahanan ke negara asal mereka dan daripada jumlah itu seramai 8,279 orang adalah lelaki, 2,661 perempuan, 200 kanak-kanak lelaki dan 163 kanak-kanak perempuan. – MalaysiaGazette