KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan empat buah bot pukat tunda Kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen penangkapan ikan di perairan negeri ini kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, dua buah bot tempatan dari Pahang manakala dua buah bot tempatan lagi dari Tanjung Sedili, Johor.
”Kesemua bot pukat tunda itu ditahan di kawasan lebih kurang enam hingga sembilan batu nautika di timur perairan Pulau Tioman.
”Pihak Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan OP MAKMUR, OP NAGA BARAT dan OP KHAS PAGAR LAUT telah mengesan empat buah bot nelayan sedang leka menjalankan aktiviti perikanan,” katanya.
Seramai 19 kru bot berkenaan ditahan termasuk sembilan warga tempatan, empat warga Myanmar dan enam warga Indonesia berumur dalam lingkungan 18 hingga 64 tahun pada operasi tersebut.
Kesemua kru yang ditahan akan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan kurang dari 12 batu nautika dari pantai atau pulau dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Mazlan berkata, bot dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 2,500 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Tegasnya Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perlanggaran yang menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan terutamanya aktiviti pencerobohan bot pukat tunda di kawasan zon nelayan kecil adalah amat tidak bertanggungjawab.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazatte