Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mempersoalkan niat sebenar Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah berhubung bahagian tambahan atau titah adendum pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kebenaran Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

BERSIH persoalkan kenapa perkara itu baru dibangkitkan sedangkan dalam keputusan Lembaga Pengampunan bertarikh 2 Februari lalu ia tidak berbangkit.

“Dalam masa sama, sekiranya wujud bahagian tambahan atau titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 seperti yang didakwa beliau, mengapa perkara tersebut tidak didedahkan oleh peguam beliau sebelum ini?

“Dakwaan terbaru ini seolah-olah akan menyebabkan satu duluan (precedent) baharu untuk keputusan rasmi Lembaga Pengampunan yang telah dimuktamadkan boleh diubah pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui tidak melihat dan tidak mengetahui sebarang bahagian tambahan atau titah adendum pengampunan diraja berhubung kebenaran bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Dalam pada itu, BERSIH turut menegaskan hukuman tahanan rumah hanya boleh diberikan kepada banduan yang terlibat dalam kesalahan kecil iaitu yang menjalani hukuman penjara selama empat tahun dan ke bawah menerusi Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Tambahan pula, Najib masih memiliki beberapa pertuduhan jenayah berat yang masih berjalan di mahkamah.

“Sekiranya banduan yang terlibat dalam kes jenayah berat seperti Najib mendapat keistimewaan tahanan rumah, adalah lebih adil untuk keistimewaan tersebut diberikan kepada banduan lain yang lebih memerlukan khususnya banduan wanita yang masih mempunyai anak kecil,” jelasnya.

Najib pada Rabu membuat dakwaan itu apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi di sini, pada 1 April lalu menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan yang dimuat turun melalui sistem carian mahkamah, Najib memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya. – MalaysiaGazette