KUANTAN – Rezeki datang pelbagai cara selagi mana manusia rajin berusaha dan mensyukuri nikmat Allah.
Seorang usahawan tidak menyangka akan memiliki kereta sendiri apabila menerima kunci kereta Proton Iswara daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu, Chan Chun Kuang, hari ini.
Neng Ayu Astuty Afandi, 37, menzahirkan kesyukuran apabila menerima pemberian sebuah kereta wakil rakyat PKR itu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Beberapa bulan lepas saya ada mohon bantuan untuk memiliki sebuah mesin pengadun doh industri dengan pejabat ADUN Semambu.
“Hari ini saya terkejut apabila YB Chun Kuang memberitahu saya bahawa dia akan datang sendiri untuk menghantar kereta dan saya hampir menangis ketika menerima kunci kereta.
“Saya tidak pernah terfikir untuk memiliki kereta sendiri kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.
Melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menambah pendapatan keluarga, Neng Ayu Astuty mengakui pemberian itu membantunya untuk mengembangkan perniagaan kuih pada masa depan.
Ini kerana ibu kepada tiga anak itu menghantar kuihnya dengan menggunakan motosikal.
Sementara itu, Chun Kuang berkata, beliau memberikan kereta terpakai berbanding mesin pengadun doh kepada Neng Ayu Astuty agar wanita itu dapat meluaskan perniagaannya.
Katanya, idea itu tercetus apabila berpendapat pemberian kereta lebih bermanfaat pada jangka masa panjang.
“Jika saya berikan dia mesin pengadun, mungkin hanya meningkatkan pengeluaran kuih dia masih perlu bergantung kepada orang lain untuk menjualnya.
“Jadi saya memutuskan untuk memberikannya sebuah kereta. Dia boleh menghantar sendiri kuih ke gerai dan lebih mudah untuk memenuhi pesanan pelanggan,” katanya. – MalaysiaGazette