Suasana warga kota membeli-belah sempena cuti umum nuzul al quran bagi persediaan awal menjelang Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di bazar Jalan TAR, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 28 MAC 2024.

Oleh: ROZITA ALIAS@ABDUL LATIFF

HANYA tinggal beberapa hari lagi umat islam diseluruh dunia bakal meraikan lebaran, hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat islam setelah sebulan menunaikan ibadah puasa. Persiapan menyambut syawal sedang giat dilakukan. Bukan hanya pakaian serba baharu
malah kuih dan biskut raya tentunya beraneka untuk dijamu kepada tamu di hari lebaran. Tidak cukup dengan itu, pelbagai peralatan dan hiasan rumah juga ditukar mengikut tema. Malah baju raya juga wajib sedondong dengan keluarga, barulah raya.

Pengaruh media sosial
Iklan-iklan secara langsung di media sosial menjadikan kita tidak keruan. Apatah lagi perkhidmatan yang ditawarkan boleh tempah dahulu bayar kemudian membuatkan kita tak terasa duit keluar sehinggalah barang-barang yang ditempah sampai depan pintu rumah. Hal ini membuatkan kita membeli dan terus membeli sehinggakan tanpa sedar bungkusan tempahan menimbun diterima. Namun sebagai pengguna yang bijak, kita harus meneliti adakah ianya keperluan atau kehendak. Pengguna bijak akan meneliti tawaran diskaun atau harga rendah. Tidak bermakna barang itu murah kita perlu membelinya. Sebaiknya bandingkan dulu harga barangan yang sama (antara peniaga) dan beli yang termurah ditawarkan.

Berbelanja secara berhemah
Paling utama dalam meraikan hari raya, jangan sampai berhutang semata-mata untuk membuat persiapan menyambut raya. Hal ini boleh menyebabkan masalah pada kewangan dan tabungan bocor. Belanjalah secara berhemah bagi mengelak daripada menanggung beban kewangan pada kemudian hari. Jadilah pengguna yang bijak. Mengambil pendekatan tidak terlalu boros berbelanja dengan memperbanyakkan memasak sendiri di rumah atau membeli juadah berbuka yang diperlukan saja mampu mengelakkan pembaziran. Malah tahun ini harga juadah di bazar meningkat seiring dengan kenaikan harga barang mentah.

Bersederhana tuntutan agama
Kehidupan bersederhana adalah amalan yang sangat dituntut dalam agama Islam. Apa sahaja yang kita lakukan mestilah dalam keadaan yang sederhana dan tidak berlebihan. Firman Allah SWT: “Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.” (QS al – Furqan: 67). Kesederhanaan tidak terhad kepada perbelanjaan saja, tetapi perlu dititikberatkan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam percakapan, pergaulan, beribadat, berpakaian dan menguruskan kerjaya serta kehidupan peribadi. Sesungguhnya bersederhana itu akan memberi kesan positif kepada diri seperti lahirnya sifat tenang dan sabar dalam jiwa, menjadi manusia berdisiplin dan bertanggungjawab. Orang yang bersederhana akan
memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat serta lebih diberkati oleh Allah SWT.

Raikan Syawal tanda kemenangan
Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan umat Islam yang membawa maksud kemenangan melawan hawa nafsu, membersihkan diri daripada dosa atau dengan kata lain kembali kepada fitrah menjadi insan yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Teruskanlah berdoa moga Allah SWT menerima segala amal ibadah yang dilaksanakan termasuklah solat fardu dan sunat berjemaah, tadarus Al-Quran, sedekah serta pelbagai lagi amal soleh untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.

Marilah sama-sama kita raikan lebaran kali ini dengan penuh rasa syukur disamping mengukuhkan ikatan silaturrahim sesama kita. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.

 

Penulis adalah Pegawai di Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast