CAAM

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil tindakan segera dan langkah proaktif untuk memastikan keselamatan dan pematuhan aerodrom di Malaysia susulan kemalangan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo pada awal Januari lalu.

CAAM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan Pemeriksaan Tujuan Khas (SPI) pada Januari dan Februari 2024 meliputi 19 lapangan terbang domestik dan antarabangsa di seluruh negara.

Pemeriksaan ini tertumpu kepada kemudahan-kemudahan aerodrom yang kritikal, termasuk landasan (runway), laluan pesawat (taxiway), apron dan penunjuk arah angin dengan memastikan pematuhan terhadap piawaian yang telah digariskan di dalam Dokumen Civil Aviation Directives (CAD) 14 Vol 1 – Aerodrome Design and Operations.

Lanjutan aktiviti pemeriksaan SPI itu, CAAM telah menganjurkan satu bengkel pematuhan pada 26 Mac 2024 yang telah dihadiri oleh 66 wakil daripada semua pengendali aerodrom di seluruh tanah air termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad, Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. dan Tanjung Manis Development Sdn. Bhd.

Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara CAAM sebagai badan kawal selia dan pengendali aerodrom, dalam usaha komitmen bersama untuk mengekalkan piawaian keselamatan, kecekapan dan kemampanan tertinggi dalam industri penerbangan.

Pihak MOT bersama-sama CAAM komited untuk memastikan semua aerodrom di Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa
(ICAO).

Komitmen ini adalah penting kerana ia bukan sahaja bagi memastikan keselamatan aerodrom di tahap tertinggi tetapi juga salah satu bentuk persediaan bagi Malaysia untuk program audit ICAO di masa hadapan.

Usaha CAAM untuk memastikan pematuhan piawaian secara keseluruhan oleh semua pengendali aerodrom mencerminkan tanggungjawab kolektif di dalam mengekalkan tahap keselamatan dan integriti infrastruktur penerbangan di negara
ini.

MOT akan terus menyokong pelaksanaan langkah-langkah ini bagi menunjukkan dedikasi pihak MOT terhadap keselamatan, kecekapan dan kemampanan pengangkutan udara di Malaysia, katanya. – MalaysiaGazette