KUALA LUMPUR- Seorang pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan tujuh kenderaan yang berlaku di Kilometer (KM) 452.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada tengah malam tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku semasa cuaca hujan lebat di laluan ke arah selatan di antara Rawang menuju ke arah Hospital Sungai Buloh.
Berdasarkan maklumat awal Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, kejadian kemalangan itu berlaku pada jam lebih kurang 11.45 malam membabitkan lima kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres.
Kejadian berpunca apabila sebuah kereta yang disyaki hilang kawalan terbabas di lorong kanan lebuh raya tersebut sebelum dilanggar oleh kenderaan lain yang terlibat.
“Akibat nahas itu, pemandu 4×4 telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Paramedik Hospital Sungai Buloh yang bergegas ke lokasi nahas.
“Manakala tiga lagi pemandu dan lain telah mengalami kecederaan parah dalam insiden tersebut,” kata JSPT awal pagi tadi.
Dalam pada itu, berikutan kemalangan teruk itu, aliran trafik di kawasan berkenaan bergerak perlahan dan hanya lorong kedua yang dibuka untuk lalu-lintas,” katanya.
Sementara itu, PLUSLine Trafik, menerusi laman rasmi aplikasi X memaklumkan lorong kiri, lorong tengah dan lorong kanan laluan empat lorong itu terhalang akibat nahas tersebut.
“Trafik bergerak perlahan sepanjang tiga kilometer arah Selatan dan perlahan sepanjang empat kilometer ke arah utara atau laluan bertentangan,” katanya.
Sementara itu, Plusline turut menasihatkan pengguna lebuh raya untuk sentiasa berhati-hati semasa berada atas jalan raya.
Laluan dibuka semula jam 2.05 pagi tadi. – MalaysiaGazette