Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Dalam suasana keceriaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, orang ramai dinasihatkan agar tidak melayan sebarang panggilan yang tidak dikenali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohammed Yoosuf berkata, jangan mengambil risiko itu kerana terbukti dengan hanya menjawab satu panggilan kurang satu minit, seseorang individu boleh kerugian puluhan ribu ringgit.

Menurut beliau, nasihat ini juga terpakai kepada tindakan pihak bank yang menggunakan ejen-ejen perkhidmatan pelanggan untuk memaklumkan pelanggan tentang urusan perbankan mereka.

Ejen-ejen ini menggunakan nombor telefon bimbit mereka untuk memanggil pelanggan bank, seterusnya akan meminta pengesahan daripada pelanggan.

“Kebiasaannya empat angka akhir kad pengenalan. Pengesahan jenis ini adalah mengelirukan kerana scammer juga menggunakan taktik yang sama.

“Justeru JSJK menasihatkan supaya jangan mengesahkan sebarang maklumat peribadi kerana ia akan mendedahkan kepada kemungkinan menjadi mangsa scammer,” ujarnya.

Oleh itu, pihak bank disaran mencari kaedah lain yang lebih efektif untuk berurusan dengan pelanggan terutama yang melibatkan panggilan telefon.

“Diharapkan nasihat ini memberi manfaat kepada orang ramai supaya tidak terjebak dalam kes penipuan yang boleh menjejaskan keceriaan menyambut Syawal,” tambah Ramli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast