BENTONG – Polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 50 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan di dalam kasino Genting Highlands dekat sini petang Sabtu lalu.
Mereka kini direman, kata Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.
Menurutnya, insiden pergaduhan tercetus akibat salah faham itu melibatkan dua kumpulan yang terdiri 10 lelaki tempatan.
“Kita telah menahan empat lelaki yang terlibat dalam pergaduhan bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek direman selama dua hari bermula hari ini 7 April hingga esok 8 April ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zaiham, kempat-empat suspek telah dihantar ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.
Mengulas lanjut, katanya, pihak polis sedang mengesan saki-baki mereka terlibat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di tempat kejadian.
Difahamkan klip rakaman berdurasi 40 saat berkenaan pergaduhan tersebut juga telah tersebar dan tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Zaiham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun keseksaan. – MalaysiaGazette