Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru hidup disambung reman selama tujuh hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, reman terhadap Shalom Avitan, 38, disambung selepas tempoh tahanan ke atasnya berakhir hari ini.

“Suspek dibenarkan dilanjutkan tahanan reman selama tujuh hari lagi bermula hari ini sehingga 13 April depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Shalom ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang Ibu bersama enam senjata api serta 200 butir peluru.

Beliau didapati masuk ke negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac lalu.

Soal siasat yang dilakukan terhadap suspek membawa kepada penahanan pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan pistol kepadanya yang diperolehi dari Thailand dengan harga lebih RM10,000 setiap pucuk pistol.

Menurut Razarudin, polis masih memerlukan masa bagi mengumpulkan bukti terhadap Shalom dan pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan sebelum ini.

Tambah beliau, seorang suspek yang merupakan pemandu kepada Shalom yang ditahan di Cameron Highlands pada 29 Mac lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Secara keseluruhan, setakat hari ini jumlah individu yang ditahan pada masa ini adalah seramai 15 orang termasuk dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia,” ujarnya. – MalaysiaGazette