KUALA LUMPUR – Beberapa jam selepas tular isu kalimah Allah pada tapak kasut, pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya.
Syarikat itu berkata, permohonan maaf itu dibuat dengan menyatakan pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
“Kami pihak pengurusan Vern’s telah dimaklumkan mengenai satu isu yang telah menyinggung ramai pihak terutama yang beragama Islam.
“Pertama sekali, ingin dijelaskan bahawa pihak kami sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
“Dan kami berharap agar diberikan ruang untuk menjelaskan reka bentuk logo tersebut. Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, tular di media sosial sepasang suami isteri mendakwa mereka terkejut selepas mendapati tapak kasut milik isterinya yang dibeli pada Sabtu lalu didakwa mempunyai kalimah Allah.
Justeru itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta syarikat tersebut memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam berhubung logo tapak kasut mereka yang didakwa mirip kalimah Allah.
Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai perkara itu pagi ini apabila gambar kasut tersebut tular di media sosial.
“Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak,” kata syarikat itu lagi.
Malah syarikat berkenaan mengambil tindakan segera dengan menghentikan penjualan kasut dan logo serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.
“Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.
“Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette