KEPALA BATAS – Kira-kira 35 peratus daripada 41,000 tentera tidak berpencen berusia 60 tahun gagal menikmati Bantuan Sara Hidup (BSH) kerana tidak mengemaskini data di Veteran Integrated Benefit System 2.0 (VIBES 2.0).
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, perkara itu disedari selepas pihak bank mengembalikan wang bantuan berjumlah RM300 sebulan atas alasan akaun penerima tidak aktif.
“Sepatutnya tiada istilah penerima tercicir daripada menerima bantuan kerana semua data mereka ada dalam sistem (VIBES 2.0) namun mereka perlu kemaskini data khususnya membabitkan akaun bank.
“Sehubungan itu, saya sarankan mereka yang gagal menerima BSH segera mengisi maklumat terkini dalam sistem VIBES 2.0 bagi membolehkan pembayaran disalurkan.
“Selain itu, penerima yang gagal juga diminta tampil ke pejabat JHEV atau berjumpa dengan pihak persatuan untuk mengemaskini data dan bukannya menjadikan platform media sosial untuk mengadu yang ia tidak membantu apa-apa,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri anjuran Persatuan Veteran Tidak Berpencen Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zambery berkata, persatuan induk yang dikenali sebagai Persatuan Veteran ATM yang menggabungkan 123 persatuan membabitkan ATM akan diwujudkan selewat-lewatnya awal tahun depan.
Jelas beliau, ia susulan pihaknya akan bertemu dengan semua wakil persatuan veteran seluruh negara untuk membincangkan mengenai perlembagaan mewujudkan persatuan induk sebelum dibentangkan kepada pengurusan tertinggi.
“Majlis Veteran Kebangsaan telah meluluskan cadangan yang bentangkan pada tahun lalu dan jawatankuasa kerja juga sudah meneliti dan secara prosesnya semua persatuan veteran akan dicantumkan dan menjadi satu persatuan sahaja.
“Bagaimanapun, dari segi perlembagaan masih perlu dibincangkan. Apabila semua (bersetuju mengenai perlembagaan ditetapkan dan diharmonikan) maka saya percaya dalam hujung tahun ini atau awal tahun depan kita dah ada satu persatuan baru,” katanya. – MalaysiaGazette