Tuan rumah Mohd Ramli Sabirin (kiri) memberi duit raya kepada sanak saudara dan rakan-rakan sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri pada 2 Syawal ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Bahagia, Bangi Lama, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 23 APRIL 2023.

AIDILFITRI merupakan anugerah khas buat umat Islam setelah berkorban masa, tenaga dan harta melaksanakan pelbagai ibadah di bulan Ramadan. Justeru, perayaan Aidilfitri ini selain mempunyai nilai ibadah, turut menjadi manifestasi kegembiraan umat Islam setiap tahun, serta termasuk dalam salah satu syiar agama. Antara amalan yang dianjurkan semasa Aidilfitri adalah saling menziarahi dan menyambung ikatan silaturrahim. Di Malaysia, amalan berziarah ini tidak terhad pada 1 Syawal sahaja, bahkan turut berlangsung sehingga sebulan lamanya.

Budaya ‘Rumah Terbuka’ yang dianjurkan sama ada oleh organisasi mahupun persendirian, menjadi antara platform penting dalam merealisasikan amalan
berziarah ini. Terdapat banyak hadis yang menyatakan perihal keutamaan amalan berziarah dan menghubungkan silaturrahim ini. Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung
silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari).

Budaya berkumpul dan bersalaman bersama keluarga serta sanak saudara turut menjadi
detik indah yang mewarnakan sambutan Aidilfitri. Pada kebiasaannya, aktiviti ini akan
dilakukan di awal pagi raya sebelum aktiviti berziarah pula dilakukan. Sememangnya,
bersalaman sesama muslim itu sangat dianjurkan oleh agama, berdasarkan sabda
Rasulullah SAW: “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan,
melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah” (Riwayat Ahmad). Budaya bersalaman ini juga sebahagian daripada sifat kesantunan dan kesopanan terhadap ahli keluarga, terutamanya yang lebih berusia.

Meskipun begitu, amalan ini terikat dengan panduan syarak yang telah digariskan, iaitu tidak bersalaman dengan mereka yang berbeza jantina serta tidak mempunyai ikatan mahram. Tidak semua kaum kerabat itu merupakan mahram, meskipun kita sendiri mempunyai hubungan yang mesra bersama mereka. Menurut perspektif fiqh, mahram didefinisikan sebagai ‘seseorang yang diharamkan untuk berkahwin dengannya, sama ada dengan sebab keturunan, perkahwinan mahupun susuan’. Justeru, penting buat setiap Muslim untuk mengenali mahramnya terlebih dahulu, sebelum menghulurkan tangan untuk bersalaman, mahupun mendedahkan aurat yang lazim dipamerkan.

Selain itu, aspek pakaian, perhiasan dan solekan wajah yang adakalanya agak berlebihan tanpa disedari perlu diberi perhatian juga. Amalan ini disebut sebagai tabarruj, atau mendedahkan kecantikan dan perhiasan secara berlebihan sehingga menjangkaui batasan yang diharuskan oleh syarak. Dewasa ini, kita melihat pelbagai produk kecantikan dan fesyen pakaian yang dipromosikan, terutamanya menjelang sambutan hari raya. Tanpa sedar, sempadan tabarruj ini sering dilanggar bagi memenuhi kepuasan nafsu sendiri.

Pemilihan pakaian yang ketat dan jarang sehingga menampakkan lenggok tubuh, di samping solekan wajah yang keterlaluan dilakukan dengan alasan ‘setahun sekali’. Tudung yang dipakai pula hanya menutupi leher, dan digayakan dengan pelbagai trend sehingga menghilangkan roh pensyariatan menutup aurat itu sendiri. Penggunaan minyak wangi oleh wanita pula dilakukan secara berlebihan, sehingga mengundang tarikan daripada lelaki ajnabi. Allah SWT berfirman: “Janganlah kalian (wahai isteri-isteri Nabi) bertabarruj sebagaimana tabarruj orang-orang jahiliah yang awal.” (Al-Ahzab: 33). Bersederhanalah
dalam berhias agar setiap amalan pahala yang dilaksanakan di bulan Ramadan tidak sia-sia, dan paling utama tidak mengundang kemurkaan Allah di bulan yang mulia ini.

Sambutan Aidilfitri merupakan platform terbaik bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga. Kesibukan aktiviti harian sudah pastinya sedikit merenggangkan komunikasi sesama kita. Justeru, hari raya dimanfaatkan dengan aktiviti berziarahi bagi menyegarkan kembali ikatan yang terbina. Suasana bahagia jelas terpamer sepanjang aktiviti ini berlangsung, dengan gurauan mesra bertanya khabar, di samping menikmati juadah raya yang tersedia. Meskipun begitu, amalan ini tetap terikat dengan adab yang perlu dipatuhi, bagi memaknakan hubungan silaturrahim yang terjalin. Antara perkara yang sering diabaikan adalah memberi makluman kepada tuan rumah mengenai maklumat ziarah, seperti bilangan ahli rombongan dan masa ketibaan.

Seringkali amalan ini dilaksanakan secara mengejut, dengan alasan tidak ingin membebankan tuan rumah. Namun, tuan rumah sendiri sudah pastinya ingin membuat persediaan yang rapi dan terbaik bagi menyambut tetamu yang hadir. Tetamu juga perlu bijak menjaga tutur kata dan tidak menimbulkan sebarang perbualan yang boleh menjurus kepada situasi tidak harmoni. Elakkan mengguris perasaan tuan rumah dengan pertanyaan-pertanyaan yang kurang sopan, sebaliknya isilah ruang yang ada dengan mengeratkan kemesraan sesama kita.

Pihak tetamu juga perlu memilih waktu yang bersesuaian untuk berziarah, dan sebaiknya hindarilah berziarah di awal pagi atau di lewat malam, melainkan atas jemputan tuan rumah sendiri. Hal ini bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan kepada tuan rumah semasa menyambut tetamu yang hadir. Ibu bapa juga perlu mengawal tingkah laku dan perlakuan anak-anak kecil, supaya tidak mendatangkan kemudaratan terhadap harta benda tuan rumah. Terimalah hidangan yang diberikan dengan hati terbuka, dan jangan lupa pula mendoakan kebaikan buat tuan rumah itu sendiri. Selain itu, para tetamu juga perlu menghormati privasi dan kesejahteraan tuan rumah.

Jangan pula berziarah sepanjang hari sehingga menyebabkan keletihan dan kepenatan buat tuan rumah, dan lebih utama menyukarkan mereka untuk melakukan rutin mereka sendiri dek kerana kesibukan melayani kita. Sepanjang aktiviti berziarah juga, jangan diabaikan tuntutan agama seperti solat. Pastikan ibadah solat tetap dilaksanakan pada waktunya. Dengan itu, amalan berziarah yang dilaksanakan ini mempunyai makna ibadahnya yang tersendiri, di samping mampu merealisasikan tuntutan agama. Semoga Syawal yang tiba ini memberikan makna yang besar buat diri kita, setelah berpenat lelah mengumpul amalan pahala di bulan Ramadan yang mulia.

Dr Khairul Azhar Meerangani
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast