Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Syarikat Vern’s Holding Sdn. Bhd. telah diberi peringatan tegas supaya sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat di negara ini.

Malah perkara sama turut diingatkan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport yang menghasilkan apa sahaja produk jualan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, JAKIM memandang serius terhadap isu logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah yang tular di media sosial baru-baru ini kerana jelas melibatkan sensitiviti umat Islam serta boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Justeru, seperti yang diarahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) pada hari ini JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn. Bhd., Datuk Seri Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan mengenainya dan langkah-langkah pihak syarikat untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

“Pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. telah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut serta memohon maaf. Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hakimah berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengadakan siasatan lanjut berhubung perkara yang sama.

Tegasnya, sekiranya wujud elemen disengajakan dalam isu logo kasut tersebut oleh pihak syarikat maka tindakan sewajarnya perlu diambil berlandaskan undang-undang di negara ini.

Tambah beliau, JAKIM juga tidak mahu kes seperti itu berulang lagi pada masa akan datang sama ada oleh pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. atau juga pihak lain yang menghasilkan apa sahaja produk jualan.

“Dalam masa yang sama semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes ini telah pun dibuka kertas siasatan oleh pihak PDRM,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengasas Vern’s mohon maaf, jadikan isu kalimah Allah satu pengajaran