Pengasas Verns Holding Sdn Bhd, Ng Chuan Hoo berjalan keluar selepas selesai memberi keterangan berhubung isu kalimah Allah pada tapak kasut di Ibu Pejabat JAKIM, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 08 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Pengurusan Vern’s Holdings Sdn Bhd mahu menjadikan dakwaan isu logo kalimah Allah pada tapak kasut sebagai pengajaran agar tidak berulang pada masa depan.

Pengasasnya, Ng Chuan Hoo, 51, mengakui telah mendapat tunjuk ajar daripada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam pertemuan mereka hari ini.

Beliau akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkenaan sepanjang siasatan berkaitan perkara itu berjalan.

“Saya merasa terharu dan saya banyak terima kasih…mereka baik dan banyak beri tunjuk ajar kepada saya dan segala-galanya perlu JAKIM dan polis siasat.

“Selepas siasatan, langkah kedua yang perlu saya buat saya akan beri kerjasamalah,” katanya kepada media ketika ditemui selepas memberikan penjelasan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chuan Hoo menegaskan, apa yang berlaku adalah salah faham namun memahami situasi kerana telah menyebabkan masyarakat beragama Islam tidak gembira.

“Dalam hal ni Ah Fuu (Chuan Hoo) minta maafah dengan isu ini…kebetulan saya nak belajar dari kesalahan ini supaya pada masa depan perlu lebih sensitif perlu hati-hati.

“Masa depan berniaga perlu hati-hati dan sama-sama hormat walaupun ini satu salah faham,” ujarnya yang memberitahu Vern’s merupakan produk jenama tempatan.

Sementara itu, katanya, beliau telah mengarahkan pekerjanya untuk menarik semula kasut-kasut berkenaan yang telah berada di pasaran kerana tidak lagi boleh dijual.

Katanya, ada kasut-kasut tersebut yang dijadikan sebagai bahan pameran untuk dijual kepada pelanggan.

Terdahulu, Chuan Hoo tiba di bangunan JAKIM pukul 10.54 pagi dan bertemu pegawai di jabatan itu untuk diambil keterangan.

Beliau yang memakai baju kemeja warna putih dan berseluar khakis warna krim hadir berseorangan diri dan meluangkan masa hampir 50 minit bagi tujuan itu.

Ketika keluar, Chuan Hoo yang terserempak dengan sekumpulan pengamal media menundukkan kepalanya sambil memohon maaf ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Islam susulan perkara yang berlaku. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast