KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran Februari kekal pada 3.3 peratus, mencatatkan bilangan penganggur yang lebih rendah iaitu pada 567,000 orang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada Februari 2024, kedudukan tenaga buruh kekal stabil selaras dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa, merekodkan trend positif yang berterusan dalam bilangan penduduk bekerja manakala bilangan penganggur menurun sedikit.

Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut terus merekodkan peningkatan bulan ke bulan, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.07 juta orang (Januari 2024: 17.05 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh bulan Februari kekal pada 70.2 peratus seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Bilangan penduduk bekerja terus meningkat, dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.51 juta orang (Januari 2024: 16.48 juta orang).

Sebaliknya, bilangan penganggur pada bulan tersebut terus berada dalam trend menurun, dengan penurunan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 567,000 orang (Januari 2024: 567,300 orang), mencatatkan kadar pengangguran 3.3 peratus seperti pada bulan
sebelumnya.

“Daripada jumlah penduduk bekerja pada Februari 2024, 75.2 peratus berada dalam kategori pekerja, yang merekodkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.41 juta orang (Januari 2024: 12.39 juta orang),” katanya dalam kenyataan di sini.

Begitu juga, kategori penduduk bekerja sendiri berada pada trend meningkat, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 3.02 juta orang (Januari 2024: 3.01 juta orang).

Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan pengangkutan & penyimpanan.

Sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian, serta pertanian juga menunjukkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada Februari 2024.

Menurut beliau, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 79.8 peratus daripada jumlah penganggur.

Kumpulan ini merekodkan penurunan marginal 0.04 peratus kepada452.4 ribu orang (Januari 2024: 452.5 ribu orang). Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.6 peratus manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.7 peratus.

Pada masa yang sama, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif berkurang sebanyak 0.1 peratus
kepada 114.6 ribu orang (Januari 2024: 114.7 ribu orang).

Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun pada bulan tersebut kekal tidak berubah iaitu pada 10.6 peratus, dengan 306,600 penganggur belia (Januari 2024: 10.6%; 306,800 orang).

Manakala, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah 6.6 peratus, mencatatkan bilangan penganggur belia seramai 434,800 orang (Januari 2024: 6.7%; 439,700 orang).

Mengenai kumpulan tidak aktif, terdapat sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.01 peratus yang direkodkan dalam bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada bulan Februari 2024 berbanding bulan sebelumnya, dengan jumlah seramai 7.23 juta orang (Januari 2024: 7.23 juta orang).

Sebab utama penduduk berada di luar tenaga buruh adalah berikutan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga, merangkumi 42.5 peratus, diikuti oleh sebab bersekolah/ latihan sebanyak 41.0 peratus. – MalaysiaGazette