Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain beramah mesra bersama anggota pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengenal pasti salah seorang suspek perompak laut yang merompak dan menembak dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu dalam kejadian perairan Kuna, Sabah semalam.

Sambil mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut serta kewarganegaraan suspek tersebut.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian itu membabitkan perompak laut yang mengambil kesempatan ketika musim perayaan.

“Kita nampak ini adalah keadaan satu kes rompakan laut. Apabila keadaan musim perayaan berlaku, ada yang nak pergi dan balik ke Kunak ke Semporna, mereka mengambil kesempatan merompak bot-bot di laut.

“Buat masa ini salah seorang daripada anggota Maritim yang ditembak perompak telah berjaya menjalani pembedahan mata bagi mengeluarkan peluru dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Pada awalnya nak letak mata palsu namun alhamdulillah matanya tidak perlu dikeluarkan dan keadaan dia stabil,” katanya pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Razarudin menolak kemungkinan suspek terlibat dengan sebarang kumpulan militan.

“Bagaimanapun, polis masih sedang meneruskan siasatan kami berkaitan kes tersebut.

“Di samping itu, buat masa ini kita akan mempertingkatkan kawalan dan rondaan polis Marin di sekitar perairan negara termasuk di perairan kawasan Kunak,” ujarnya.

Menjawab mengenai penggunaan senjata oleh suspek, Razarudin turut memaklumkan siasatan juga menjurus kepada mengenal pasti jenis senjata yang digunakan suspek untuk merompak.

Semalam, media melaporkan dua anggota penguat kuasa Maritim Malaysia Zon Lahad Datu cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan penjenayah.

Manakala empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan memaklumkan kedua-dua anggotanya itu berada di dalam Bot Banggi 48 bagi menjalankan Op Khas Pagar di perairan tersebut.

“Berdasarkan laporan awal, terdapat tiga suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan tembakan ke arah bot Banggi 48.

“Bot Banggi 48 cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.

“Sebaik pasukan peronda cuba menghampiri, suspek bertindak melepaskan empat das tembakan bagi mengelak daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka.

“Ketika kejadian. berlaku pergelutan semasa berbalas tembakan sehingga menyebabkan kecederaan pada dua anggota Maritim tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, suspek meloloskan diri dengan memecut bot tersebut beredar dari lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast