Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyaksikan upacara penyerahan tongkat kuasa Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid (kiri) kepada Ketua Polis Kuala Lumpur baharu, Datuk Rusdi Mohd Isa (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Anggota polis antara tujuh suspek yang ditahan selepas disyaki menyamun serta melarikan wang tunai ratusan ribu milik seorang lelaki warga asing di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dalam kejadian itu mangsa mengalami kerugian wang tunai dan jam tangan bernilai RM260,000.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana tidak diapa-apakan atau mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu, katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas aduan mangsa dan maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju telah membuat tangkapan ke atas tujuh suspek lelaki pada 7 dan 8 April lalu di sekitar ibu negara.

Katanya, dalam serbuan pertama pada hari Ahad lalu di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak, tiga suspek berjaya ditahan.

Berpandukan maklumat mereka polis membuat tangkapan susulan ke atas empat lagi lelaki pada 8 April lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes samun dengan menyamar sebagai polis.

“Siasatan lanjut polis kemudian membawa kepada pendedahan lima suspek adalah anggota polis manakala seorang lagi bekas anggota dan suspek ketujuh merupakan orang awam.

“Kesemua suspek warga tempatan itu berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun itu direman empat hari bermula 8 hingga 11 April ini. Manakala dua lagi individu direman empat hari bermula hari ini (Selasa) hingga 12 April ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya lagi.

Semua suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun bersenjata secara berkumpulan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Kes ini masih dalam siasatan dan polis tidak akan melindungi individu termasuk poegawainya sendiri yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang,” tegas beliau. – MalaysiaGazette