Keadaan rumah ibu tunggal Nor Paezah Abdullah, 63, di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit yang musnah terbakar.

PARIT – Kegembiraan seorang ibu tunggal meraikan mapabila kediamannya di Kampung Tua, Tanjung Belanja, di sini, musnah terbakar petang tadi.

Nor Paezah Abdullah, 63, rebah beberapa kali ketika melihat rumah yang didudukinya lebih 35 tahun dijilat api sekelip mata ketika umat Islam menyambut hari ketiga Syawal.

Dia kemudiannya ditenangkan ahli keluarga dan orang kampung sebelum dibawa masuk ke kediaman ibunya yang terletak bersebelahan dengan rumah miliknya yang terbakar.

Anak Nor Paezah, Megat Khairil Idlan Megat Abu Shahuddin, 35, berkata, kejadian berkenaan berlaku begitu pantas sehingga usahanya untuk memadamkan kebakaran menemui jalan buntu selain turut melecur di tapak kaki.

Menurut Megat Khairil ketika kejadian dia berada seorang diri di rumah memandangkan semua ahli keluarganya menghadiri majlis pertunangan saudara di kampung yang sama.

“Ketika kejadian saya berada diruang tamu dan ingin ke dapur untuk minum air, kemudian terlihat api sedang membakar langsir di bahagian tengah rumah.

“Saya kemudian bergegas ke dapur mengambil air untuk memadam kebakaran namun ia tidak berjaya dan tanpa disedari kedua-dua tapak kaki saya melecur disebabkan lantai terlalu panas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Jalan Masjid As Saadah, Kampung Tua, Tanjung Belanja, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang hadir menziarah mangsa menzahirkan rasa simpati dengan kejadian menimpa ibu tunggal berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal akan menyalurkan bantuan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.

Khairudin Abu Hanipah bertanya mengenai kebakaran kepada anggota bomba.

“Kita juga sudah bertanya kepada mangsa sama ada perlu menginap di dewan atau tidak dan dia memaklumkan akan tinggal di rumah emaknya buat sementara waktu.

“Saya bersama pihak JKM dan Baitulmal akan mencari rumah sehingga selesai kerja-kerja pembinaan rumah baharu berdasarkan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu MG Perak melaporkan, seorang lelaki melecur di tapak kaki manakala empat buah motosikal musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Masjid Saadah Kampung Tua di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.44 petang dan seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit serta dibantu BBP Seri Iskandar bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi didapati sebuah rumah kelas B berkeluasan 30’x40’ terbakar 85 peratus manakala empat buah motosikal turut terbakar kira-kira 85 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast