Oleh: Profesor Madya Dr Mohd Radzniwan A. Rashid

RASA sebu di perut adalah perkara yang acapkali berlaku semasa hari raya. Ia adalah keadaan di mana kita merasa tidak selesa dan kembung di bahagian perut dan sekitarnya. Kemunculannya yang kerap terjadi semasa bulan raya adalah disebabkan oleh tabiat makan kita yang berubah disebabkan terdapatnya juadah seperti ketupat, rendang dan lemang yang pelbagai dan kuih-muih yang lazat belaka. Ditambah lagi selera ini bergelojak setelah sebulan kita berpuasa di bulan Ramadan. Orang kata, rezeki jangan ditolak, jadi makanlah sepuas-puasnya sebab Hari Raya Aidil Fitri hanya disambut setahun sekali.

Rasa yang tidak selesa ini boleh menjadikan pengidapnya hilang selera dan mood untuk menikmati juadah yang disediakan. Angin yang terperangkap di dalam perut dan usus menjadikan keadaan yang tidak sedap. Ada kalanya mereka akan rasa mual dan kalau ia berlaku dengan teruk, muntah akan berlaku. Apabila angin telah keluar, mereka akan rasa lega. Oleh yang demikian, pelbagai cara akan dilakukan untuk memaksa angin ini dapat dilepaskan. Ada yang menyapu minyak berangin di perut, dada dan hidung, ada yang minum susu dan ada yang mengambil ubat yang dijual di farmasi.

Namun perlukah kita bimbang apabila situasi ini berlaku? Sebu perut ada yang ringan sahaja, tetapi ada kalanya gejalanya akan menjadi teruk dan berpanjangan. Bagi yang ringan, sapuan ubat angin seperti yang diterangkan di atas, boleh melegakan sebu perut. Pengidap jenis ini perlulah berhati-hati apabila makan dan minum. Mereka perlulah makan dengan kadar sedarhana, sedikit, demi sedikit. Pengambilan makanan yang banyak dan laju, menyebabkan sebu perut datang kembali. Jenis makanan juga perlu diperhatikan.

Elakkan minuman bergas dan berkafein dan makanan yang berangin, pedas, berempah dan berlemak kerana makanan jenis ini sering kali dikaitkan dengan sebu perut. Ada juga yang menyarankan supaya elakkan mengunakan straw semasa minum dan elakkan mengunyah gula getah kerana cara ini boleh menyebabkan angin boleh masuk ke dalam perut dan usus. Sebaliknya sebu perut boleh menjadi tanda-tanda awal kepada penyakit yang lebih serius.

Ini termasuklah penyakit batu di pundi hempedu, gastrik, GERD, peptic ulcer disease, penyakit Crohn dan kolitis ulseratif, serta keracunan makanan. Penyakit batu di pundi hempedu boleh menyebabkan sebu perut yang teruk di sebelah kanan atas perut, terutama selepas makan makanan berlemak manakala gastrik dan peptic ulcer disease sering disertai dengan sebu perut yang teruk, sakit perut yang kuat dan lebih parah lagi boleh menyebabkan muntah darah.. Pesakit yang mengalami GERD pula akan rasa panas merayap ke atas paras dada, makanan naik ke tekak semula dan rasa masam di mulut.

Penyakit Crohn dan kolitis ulseratif pula, walaupun amat jarang berlaku, boleh menyebabkan sebu perut, kembung, dan sakit perut terutama di bahagian abdomen (sekeliling pusat) sebagai gejala radang usus, manakala keracunan makanan memberikan gejala seperti muntah, cirit-birit, kembung, dan sebu perut. Disebabkan sebu perut seringkali disertai oleh gejala-gejala dan punca-punca yang pelbagai, maka adalah penting untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan penilaian yang tepat bagi menentukan punca sebenar.

Seterusnya, tindakan perihatin sebegini membolehkan pesakit mendapat rawatan yang sesuai dengan cepat dan berkesan. Perlu diingat bahawa, sebu perut juga boleh menjadi tanda-tanda kepada kanser perut dan kolorektal. Sehubungan dengan itu, doktor akan bertanyakan sejarah kanser di kalangan keluarga mereka dan tanda-tanda kanser lain yang menjerumus kepada kanser tersebut.

Seperkara lagi yang sangat ditakuti adalah, sebu perut boleh menjadi tanda kepada sakit jantung. Oleh yang demikian, doktor akan memastikan ia bukan berpunca dari sakit jantung. Penilaian yang lebih kritis akan dilakukan terutama kepada pengidap yang berumur lebih daripada 50 tahun dan ke atas, obesiti, kolestrol tinggi, pengidap kencing manis dan darah tinggi dan mereka yang mempunyai sejarah sakit jantung., Kesemua ciri-ciri ini dipanggil risiko kardiovaskular.

Kebarangkalian sebu perut yang disebabkan oleh sakit jantung adalah lebih tinggi apabila bilangan risiko ini banyak dimiliki oleh pesakit itu. Lebih-lebih lagi sebu perut ini disertai oleh tanda-tanda seperti sakit dada yang teruk, sesak nafas, atau rasa tidak selesa yang merebak ke lengan, rahang, atau belakang badan. Oleh sebab itulah, kadang-kadang ada pesakit perlu dibuat pemeriksaan rentak jantung atau ECG untuk memastikan gejala sebu perut itu bukanlah disebabkan oleh jantung.

Kesimpulannya, jangan pandang remeh apabila kita mengalami sebu perut yang tidak hilang-hilang dan berpanjangan. Kesibukkan kita melakukan ziarah dan melayan tetamu boleh membuatkan kita lambat untuk membuat pemeriksaan yang sewajarnya. Tindakan pantas dan berhati-hati, boleh mengelakkan kita beraya di hospital. Selamat hari raya semua!

Penulis merupakan Ahli Jawatan Kuasa Pertubuhan Bulan Sabit Hijau, Malaysia, dan Pensyarah and Pakar Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast