Cawan jus berperisa dadah berbahaya aktif diedarkan ke pusat pusat hiburan sekitar Kuantan Pahang ditumpaskan hari ini. Ihsan IPK Pahang.

KUALA LUMPUR – Polis Pahang menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang dicampur dengan jus minuman di pusat-pusat hiburan di sekitar Kuantan, Pahang dengan tertangkapnya seorang lelaki dalam serbuan pada awal pagi ini.

Ketua Polis Pahang, Pesuruhjaya Polis Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam serbuan jam 12.10 pagi di dua lokasi berbeza, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang merampas 50 cawan jus minuman berisi bahan campuran disyaki dadah berbahaya seberat 5,273 gram.

Selain itu, jelasnya, polis turut merampas 75 kotak jus minuman pelbagai perisa berisi bahan campuran disyaki dadah berbahaya sebanyak 17,900 mililiter (ml) yang dianggarkan bernilai RM35,300.

“Hasil ujian saringan awal polis terhadap suspek dapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan, hari ini

Menurut Yahaya, suspek yang berusia 42 tahun itu mempunyai tujuh rekod lampau bagi kesalahan dadah.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Yahaya berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 April ini bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette