Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media mengenai kejadian seorang lelaki melepaskan tembakan sehingga mencederakan seorang pengawal peribadi ketika di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto WAN NABIL NASIR, 14 APRIL 2024.

SEPANG – Hafizul Zarawi, 38, suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal Satu Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) 1 di sini awal pagi tadi diminta segera menyerah diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek memiliki senjata dan dia berbahaya.

Oleh itu, orang awam yang melihat suspek diminta berkongsi maklumat dan jangan bertindak sendirian.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggerakkan setiap kontinjen negeri dengan serta- merta untuk mengesan suspek.

“Semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen negeri yang terdekat di kawasan sekitar dan bersempadan dengan negara jiran kita telah gerakkan bagi mengesan suspek.

“Jadi, saya sarankan suspek dapat beri kerjasama menyerah diri secara aman di mana-mana balai polis, apa yang berlaku pagi tadi, telah berlaku, ‘whatever happend next not correct the first incident (apapun yang berlaku seterusnya tidak akan membetulkan kejadian pertama).

Katanya, siasatan awal mendapati kes tembakan ini lebih menjurus kepada dendam antara suspek dan mangsa.

Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) menunjukkan gambar suspek, Hafizul Zarawi yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto WAN NABIL NASIR, 14 APRIL 2024.

“Saya sekali lagi sarankan suspek yang dikenalpasti itu supaya datang ke mana-mana balai polis untuk serahkan diri dan secara aman dan tidak memudaratkan mana mana pihak lagi, itu sangat penting.

“Jadi kepada saudara Hafizul saya sarankan datang ke mana-mana balai menyerah diri dengan aman, jangan kita ikut amarah, ia akan memburukkan lagi keadaan,” katanya selepas hadir meninjau lokasi kejadian dan kawalan keselamatan di Terminal 1 KLIA1 itu pagi tadi.

Mohd Shuhaily berkata, suspek yang tiba di KLIA kira-kira jam 1.20 pagi telah memakir keretanya di tingkat 2, Blok C sebelum masuk ruang balai ketibaan.

“Kita dapati suspek melemparkan satu mercun dan mencederakan dua awam sebelum bertindak meghampiri mangsa iaitu isterinya yang ada bersama dua pengawal peribadinya sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa pada jarak dekat sekitar 3 hingga 4 meter.

“Satu das tersasar manakala satu das lagi terkena perut pengawal peribadi mangsa sebelum suspek melarikan diri ke arah tempat letak kereta dan meloloskan diri,” katanya.

Menurut beliau, sekitar 30 orang termasuk polis bantuan yang bertindak awal difahamkan berada di lokasi semasa insiden tembak itu berlaku.

Siasatan juga mendapati, suspek tidak memiliki lesen atau permit untuk senjata api dan suspek dipercayai memperoleh pistol secara haram.

Kata Shuhaily lagi, suspek adalah suami kepada mangsa dan kedua-duanya ada syarikat agensi pelancongan.

Semasa kejadian, isteri suspek berada di lapangan terbang untuk menerima jemaah umrah yang baru tiba. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast