Kolam selam tempur yang masih belum siap. Foto: Fb Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak berkenaan. Pada hari ini, saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan.

“Mengapa ia dirobohkan, saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan Jurutera Daerah Mersing,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office yang dikongsikan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sehubungan itu Yang di-Pertuan Agong menitahkan papan tanda berkenaan dipasang semula di tapak projek pembinaan.

Majlis pecah tanah kolam berkenaan disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018.

Kolam selam tempur merupakan fasiliti yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.

Fasiliti itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti mock up kapal, entry point bagi kemasukan melalui udara, serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast