Mohd Alwi.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan meningkatkan kawalan, pemantauan di negeri ini dalam usaha mengesan suspek kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam yang dipercayai meloloskan diri ke utara tanah air.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya turut melaksanakan sekatan jalan raya bagi memastikan suspek tidak menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi meloloskan diri mahupun bersembunyi daripada diberkas pihak berkuasa.

“Selain meningkatkan risikan, kita juga akan edarkan gambar suspek kepada Unit Kereta Peronda (MPV) bagi tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Alwi menggalas tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu menggantikan Mohamad Usuf yang dilantik Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman.

Beliau berkata demikian pemberita selepas selesai majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang antara beliau dengan Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamed di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hamzah Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN

Pengawal peribadi parah ditembak di Balai Ketibaan KLIA

Media semalam melaporkan lelaki yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 di sini, dipercayai melarikan diri ke utara.

Kejadian jam 1.15 pagi menyebabkan mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun itu parah akibat terkena tembakan pada bahagian perut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, motif yang dikenal pasti setakat ini lebih kepada perihal peribadi antara suspek dengan isterinya. – MalaysiaGazette