KUALA LUMPUR – Seorang individu parah selepas seorang lelaki melepaskan tembakan dua kali di balai ketibaan KLIA1 awal pagi tadi.
Kejadian yang menimpa seorang pengawal peribadi warga tempatan itu berlaku pada jam 1.30 pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek melarikan diri sejurus kejadian berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang berada di situ, menunggu kepulangan jemaah umrah.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis mengklasifikasikan sebagai kes cuban membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jelasnya, kejadian ini bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.
“Keadaan di KLIA adalah terkawal dan selamat,” ujar beliau.
Polis telah mengenal pasti suspek dan operasi mengesannya sedang dilakukan.
Hussein berkata, suspek dipercayai melarikan diri ke utara. – MalaysiaGazette