Pihak polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kereta yang dipercayai menyeludup masuk warga asing di Kuala Pegang, Baling Kedah.

BALING – Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kereta yang menyeludup masuk warga asing di Kuala Pegang, di sini, awal pagi tadi susulan meloloskan diri daripada sekatan jalan raya sejauh 70 kilometer di Sungai Lebey, Gerik, Perak.

Ketua Polis Daerah Baling, Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik yang memaklumkan sebuah kereta jenis Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju ketika melalui sekatan polis pada jam 4 pagi.

Katanya, berikutan itu anggota peronda MPV Gerik kemudian menjalankan ‘Op Kesan’ di kawasan sekitar lokasi terbabit sebelum menemui kereta itu di sebuah stesen minyak di Kuala Rui, Gerik.

“Semasa pihak polis mahu melakukan pemeriksaan, pemandu kereta terus memecut laju sehingga memasuki daerah Baling sebelum dibantu unit MPV IPD Baling.

Shamsudin

“Suspek dilihat memandu dalam keadaan bahaya selain mengancam nyawa pengguna jalan raya lain menyebabkan anggota MPV memberi amaran menerusi alat membesar suara sebanyak tiga kali.

“Bagaimanapun, pemandu kereta itu enggan memberhentikan kenderaan sekali gus memaksa anggota MPV Baling terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah tayar kereta suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, lima das tembakan dilepaskan yang mana dua daripadanya terkena bonet kereta manakala tiga lagi tersasar.

Jelas beliau, suspek masih meneruskan pemanduan sebelum terbabas di atas Jambatan Kuala Pegang di sini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu dan penumpang hadapan yang merupakan warga tempatan telah melarikan diri.

“Manakala empat warga asing yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 23 hingga 39 tahun berada dalam kereta tersebut.

“Semakan lanjut mendapati, kesemua mereka tidak mempunyai dokumen lengkap dan diseludup masuk dari Kelantan.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah Shamsudin, seorang suspek berjaya ditahan pada jam 3 petang tadi di stesen bas Gerik manakala rakannya masih lagi dikesan. – MalaysiaGazette