PASIR SALAK – Seorang maut manakala empat yang lain cedera dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di Pekan Kampung Gajah dari arah Tanjung Tualang di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 7.16 malam dan 16 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dibantu BBP Seri Iskandar bergegas ke lokasi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Perodua Kancil dan Proton Perdana V6.
“Seramai empat mangsa berada di dalam kereta Perodua Kancil membabitkan dua wanita dan dua kanak-kanak lelaki manakala seorang lagi mangsa adalah pemandu Proton Perdana V6.
“Tiga daripada empat orang mangsa dalam kereta Perodua Kancil serta pemandu Proton Perdana V6 didapati tersepit dalam kemalangan itu.
“Seorang wanita yang berada di dalam kereta Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, Komander Operasi bertindak membuat size up dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan diserahkan kepada KKM untuk rawatan lanjut serta dibawa ke hospital.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Megat Mohd Dahari Jamaluddin tamat sepenuhnya pada 9.50 malam. – MalaysiaGazette