Jalan berlubang di sekitar Keramat Au, di sini.

KUALA LUMPUR – Gara-gara jalan berlubang, pengguna jalan raya sekitar Keramat Au, di sini, terpaksa mengeluarkan modal beribu ringgit bagi membaik pulih kenderaan mereka.

Malah ada yang mendakwa rim tayar motosikal pecah selain ekzos kereta tercabut akibat stuktur jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik.

Rata-rata pengguna di situ meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa dengan pihak berkuasa yang hanya melepaskan batuk di tangga dalam membaiki stuktur jalan di kawasan sekitar.

Muhammad Shariffuddin Ishak

Muhammad Shariffuddin Ishak, 34, yang telah menetap di sana selama 13 tahun berkata, masalah jalan berlubang di kawasan itu tiada kesudahan walaupun telah diturap berulang kali.

Dia juga mendakwa, ada beberapa penduduk terpaksa berpindah akibat tidak tahan dengan masalah tersebut kerana projek pembinaan melibatkan paip bawah tanah telah menghalang laluan rumah mereka.

“Jalan dekat sini mereka akan korek kemudian tampal balik dan korek semula. Bukan itu sahaja, jalan yang ditampal pun ala kadar je sampai ada penduduk tidak tahan terpaksa berpindah sebab faktor jalan ini.

“Ada juga penduduk alami masalah tayar pecah, rim tayar motor bengkok, malah berlaku kemalangan sampai masuk lubang. Situasi ini yang mengundang keselamatan kami.

“Kalau boleh kerajaan carilah jalan penyelesaian kedua -dua pihak untuk baiki jalan dan adakan jangka masa untuk pembinaan serta baiki jalan, jangan tangguh lama-lama,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan MalaysiaGazette d ilokasi mendapati, walaupun ada beberapa laluan di situ sudah diturap namun masih terdapat jalan yang berlubang agak dalam terutama di kawasan pembinaan.

Syazrul Makbolamshah

Sementara itu, pekerja swasta, Syazrul Makbolamshah, 34, yang sering kali melalui kawasan Keramat Au juga meluahkan perasaan yang sama selain pernah mengalami kerosakan rim tayar motosikal akibat jalan berlubang.

“Jalan ini dah lama tidak siap-siap lagi dari saya dapat lesen sampailah sekarang. Bahayalah faktor jalan ini sebab tidak lurus ditambah kiri dan kanan ada pembinaan.

“Bila ada kereta keluar simpang susah untuk motor nak nampak sebab terhalang, ditambah pula kalau laluan bertentangan perlu mengelak.

“Saya harap projek pembinaan ini cepat-cepat siaplah sebab hal ini melibatkan nyawa dan tidak boleh dimana-mana. Kalau motor rosak kita boleh baiki tapi nyawa hilang mana nak cari ganti,” ujarnya.

Ahmad Safaiq Khalifa Mohd Afendi

Bagi Ahmad Safaiq Khalifa Mohd Afendi, 41, pula pernah mengalami ekzos kereta hampir tercabut selain berpuluh ribu ringgit telah dibelanjakan bagi membaiki kereta apabila melalui jalan yang berlubang seperti kawah.

“Bagi saya memang banyak masalah jalan berlubang, bukan di sini sahaja tapi di mana-mana. Kita nampak pihak berkuasa macam tidak ambil berat sedangkan kita ada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan exco pembangunan negeri.

“Kalau nak tengok perubahan hanya ketika pilihan raya sahaja atau bila ada pemimpin nak datang baru kita nampak pembaikan, perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

Kalau cakap pasal kos, saya rasa dah boleh beli kereta baru tapi saya harap kerajaan lebih peka tentang hal ini dan kita ada jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk pantau.

“Jangan sampai rakyat tanda sendiri jalan yang berlubang, baru kerajaan nak bertindak,”katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast